Anda di sini

Kahlua, kucing pertama dari Sarawak menang anugerah antarabangsa  

Chong (kanan) dan Kelvin berkongsi kejayaan Kahlua dan pemiliknya Cheah (tengah) mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing.
Chong (kanan) dan Kelvin berkongsi kejayaan Kahlua dan pemiliknya Cheah (tengah) mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing.

KUCHING: Sarawak diletakkan pada peta dunia peminat kucing baru-baru ini apabila memenangi anugerah baka Maine Coon terbaik pada pertunjukan antarabangsa anjuran Persatuan Peminat Kucing (CFA) pada 30 April lepas.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuching, kucing berusia satu tahun lima bulan yang dinamakan Kahlua milik Cheryl Cheah ini, turut memenangi pelbagai anugerah dalam lain-lain kelas persaingan di seluruh dunia.

Kejayaan Kahlua dan pemiliknya Cheah mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen. 

Sebagai mengiktiraf usaha baik oleh Cheah dan kucing miliknya, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii masing-masing menyampaikan saguhati RM1,000 kepada Cheah dan kucingnya. 

“Kita amat berbangga dengan pencapaian Cheah bersama kucingnya, namun menurut Cheah berikutan wabak rabies di Sarawak ia telah menjadikan lebih sukar untuk kucingnya bersaing dalam pertandingan luar.

"Meskipun dengan keputusan ujian sah rabies dari United Kingdom (UK), permohonan kucing dari Sarawak untuk bersaing di Semenanjung Malaysia tetap dinafikan. 

“Berikutan itu, Cheah telah memaklumkan perkara ini untuk perhatian Kelvin untuk membantu merayu kepada Menteri Pertanian untuk membenarkan Kahlua bersaing di Kedah, yang merupakan pertandingan terakhir sebelum musim pertunjukan tahun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini hari ini. 

Chong turut menyokong aktiviti berkaitan kucing dan telah menyumbang RM5,000 kepada Kelab Kucing Jalanan Sarawak. 

Sebahagian daripada sumbangan ini turut  digunakan untuk membiayai perberlanjaan pertandingan Kahlua. 

Dalam pada itu Cheah berkata, beliau yakin kucingnya mempunyai peluang yang baik untuk menang berdasarkan markah yang diperolehi dalam pertunjukan sebelum ini. 

Sehubungan itu, Cheah akan memohon kepada Kerajaan Sarawak menerusi Ketua Menteri untuk mengeluarkan passport kucing bagi memudahkan urusan dokumen perjalanan bagi kucingnya menyertai pertunjukan luar. 

“Pasport untuk tempoh sah satu tahun memadai untuk kucing saya. Saya berharap akan mendapat pasport ini daripada Kerajaan Sarawak,” katanya. 

Kahlua, kucing gebu dengan bulu bewarna perang, hitam dan putih ini juga merupakan Kucing Terbaik Malaysia dan satu-satunya kucing Malaysia yang disenaraikan Sepuluh Kucing Terbaik di Kejohanan Baka Antarabangsa bersaing dengan kucing dari negara seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Filipina.