Anda di sini

Jaga kemudahan awam untuk kegunaan bersama: Ripin

Advertisement
 Ripin (kanan) menandatangani plak sempena perasmian Dewan Kampung Nelayan Kuala Bakam, Miri pagi semalam.
SUDAH RASMI: Ripin (kanan) menandatangani plak sempena perasmian Dewan Kampung Nelayan Kuala Bakam, Miri pagi semalam.

MIRI: Penduduk kawasan perumahan dan kampung-kampung perlu menjaga kemudahan awam yang disediakan kerajaan negeri untuk kegunaan bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, kerajaan negeri banyak menyalurkan projek untuk rakyat menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

“Kemudahan seperti rumah-rumah ibadat, chapel, balai raya atau dewan serbaguna perlu dijaga bersama agar ia dapat memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya pada Majlis Perasmian dan Chapel St Peter & Paul di Upper Bakam Miri dan Dewan Kampung Nelayan Kuala Bakam, Miri pagi semalam.

Ripin mengambil contoh terdapat dewan serbaguna yang baharu siap di Taman Tunku rosak kurang dalam tempoh sebulan akibat vandalisme.

“Saya amat berharap penduduk kampung atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjaga semua kemudahan RTP yang disediakan kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, projek keperluan penduduk itu salah satu bukti kerajaan negeri prihatin dengan permintaan rakyat khasnya dipinggir bandar.

“Masyarakat perlu bersama-sama menjaga fasiliti itu dengan baik seperti milik bersama dan menjaga kebersihannya,” jelasnya.

Kedua-dua projek RTP di kawasan Bakam itu masing-masing siap dalam tempoh setahun sejak ia diluluskan kerajaan tahun lalu.

Ripin turut meluluskan penambahan bangunan serbaguna kelas di kawasan Chapel StPeter & Paul serta ‘awning’ bagi mengelak tempias hujan.

Pada masa sama, beliau mengumumkan geran RM3,000 kepada JKKK Kampung Nelayan Kuala Bakam untuk kegiatan aktiviti.

Hadir sama Ketua Kaum merangkap Pengerusi JKKK Kampung Nelayan Bakam Okong Sulip, Pengerusi Chapel St Peter & Paul Albert Mawi, Penghulu Kawasan Bakam Adam Bujang serta ketua-ketua masyarakat.

  • oleh
  • Advertisement