Anda di sini

IEM Sarawak anjur Larian Jurutera 2019 pada 10 Ogos

Advertisement
HAIDEL
HAIDEL

KUCHING: Institut Jurutera Malaysia (IEM), Cawangan Sarawak akan menganjurkan Larian Jurutera 2019 pada 10 Ogos depan di Pasar Raya Besar Mydin, Petra Jaya di sini.

Pengerusi IEM Sarawak, Haidel Heli berkata pihaknya menyasarkan penyertaan seramai 1,000 peserta dari sektor korporat mahupun orang awam pada larian edisi kelima itu.

“Larian Jurutera 2019 ini diadakan sempena Minggu Kejuruteraan 2019 dari 3 hingga 10 Ogos nanti.

“Pada edisi tahun lalu, larian ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk dari sektor korporat dan saya berharap terus mendapat sambutan pada tahun ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Haidel, larian kali ini akan mempertandingkan kategori 21km dan larian santai sejauh 5km.

Katanya, aktiviti tahunan IEM Sarawak itu juga menjadi landasan merapatkan hubungan antara jurutera serta orang awam selain mempromosikan gaya hidup sihat kalangan masyarakat.

Menyentuh sambutan Minggu Kejuruteraan 2019, Haidel berkata program julung kali itu membabitkan beberapa pengisian iaitu Minggu Kejuruteraan, Expo Kejuruteraan dan Larian Jurutera.

“Expo Kejuruteraan diadakan di Pusat Beli-Belah The Spring pada 3 dan 4 Ogos dan pelbagai aktiviti diadakan selama dua hari.

“Pada 3 Ogos sebelah malam, kita mengadakan majlis makan malam tahunan IEM Sarawak di Hotel Imperial dan kita turut menjemput Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg sebagai tetamu kehormat.

“Minggu Kejuruteraan 2019 juga dirasmikan pada majlis makan malam itu nanti,” katanya.

Advertisement