Anda di sini

Fokus tempatkan guru opsyen BI di sekolah memerlukan

Advertisement
 Rubiah merakam kenangan bersama warga pendidik sempena Majlis Hari Guru dan Gawai Raya Peringkat Daerah Samarahan 2019.
ALBUM GAWAI RAYA: Rubiah merakam kenangan bersama warga pendidik sempena Majlis Hari Guru dan Gawai Raya Peringkat Daerah Samarahan 2019.

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi tumpuan khusus dalam menempatkan guru-guru opsyen bahasa Inggeris (BI) di sekolah memerlukan di negeri ini.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Guru dan Gawai Raya Peringkat Daerah Samarahan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, usaha itu penting bagi memastikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kita mengharapkan kementerian akan terus fokus untuk menempatkan guru-guru ini di sekolah yang amat memerlukan.

“Pada masa ini, dimaklumkan guru-guru opsyen BI ini belum mencukupi dan dengan adanya program PPSMI ini, kita berharaplah guru-guru yang opsyen BI dapat difokuskan,” ujarnya.

Tambah Rubiah, KPM harus fokus pada sekolah yang memerlukan bagi memastikan sistem pendidikan di sekolah dan di Sarawak dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, beliau memberitahu sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kepada warga pendidik yang diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.

“Adalah amat wajar sambutan Hari Guru ini diraikan bersama pelajar, ibu bapa dan masyarakat sebagai pengiktirafan kepada para guru.

“Inilah cara terbaik untuk menyatakan terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai,” tegasnya.

Dengan tema ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi,’ Rubiah berkata, pengorbanan seorang guru bukan sahaja berperanan sebagai pendidik dalam membentuk pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, malah melahirkan modal insan yang mampu memartabatkan taraf pendidikan.

“Kita bersyukur kerana suasana harmoni dizahirkan pada majlis sambutan Hari Guru dan Gawai Raya yang dilaksana secara meriah dan wujud kesepaduan masyarakat,” ujarnya.

Majlis Hari Guru dan Gawai Raya Peringkat Daerah Samarahan 2019 itu disertai 59 sekolah di Daerah Samarahan, anjuran bersama SMK Wira Penrissen, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan dan semua warga pendidik di Samarahan dan diselaras oleh Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Wira Penrissen Hamdan Bujang.

Sebanyak 27 gerai makanan disediakan oleh sekolah terlibat dan kelas-kelas terbuka anjuran para murid sempena majlis tersebut.

  • oleh
  • Advertisement