Anda di sini

Darell ketuai delegasi Malaysia ke Pertunjukan Udara Paris Antarabangsa Ke-53

Advertisement
DARELL
DARELL

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pertunjukan Udara Paris Antarabangsa Ke-53 di Perancis dari 17-19 Jun.

Beliau akan diiringi oleh pegawai dari kementeriannya, Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan wakil dari syarikat Malaysia.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan semalam, Darell dijadual menghadiri majlis pembukaan rasmi Pertunjukan Udara Paris, merasmikan Pavilion Malaysia dan menghadiri mesyuarat perniagaan dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) dan syarikat Tier 1.

“Beliau juga akan menyampaikan ucapan pembukaan di seminar Malaysia-Perancis yang akan dianjurkan secara bersama oleh MATRADE dan Persatuan Industri Aeroangkasa Perancis,” katanya.

MITI berkata penyertaan Malaysia dalam Pertunjukan Udara Paris penting sebagai platform kepada syarikat aeroangkasa tempatan untuk meninjau inovasi terkini pasaran aeroangkasa dan pembangunan industri global.

“MATRADE menerajui penyertaan 15 syarikat Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa.

“Selain menarik pelaburan berkualiti yang akan memacu pembangunan rantaian bekalan tempatan, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan sumbangannya sebagai pembekal penting bagi bahagian dan komponen pesawat kepada OEM dan syarikat Tier 1,” menurut MITI.

Kerajaan melihat industri aeroangkasa sebagai sektor penting yang menawarkan banyak peluang kepada pemindahan teknologi maju dalam kejuruteraan, elektronik, bahan komposit, integrasi sistem, MRO serta penyelidikan dan teknologi yang diterajui industri.

Ini dapat dilihat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) apabila industri aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai antara sektor tumpuan strategik utama Malaysia.

Pada 2018, industri aeroangkasa Malaysia mencatatkan jumlah perolehan sebanyak RM14.4 bilion. Ia berjaya mengekalkan pertumbuhannya yang positif sejak pelaksanaan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang diterajui oleh NAICO.

Terdapat 24,500 pekerja berkemahiran tinggi berkhidmat dalam industri itu.

Subsektor pembuatan aeroangkasa kekal menjadi penyumbang utama kepada perolehan industri yang sebanyak 48 peratus, mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM6.97 bilion, meningkat 8.3 peratus berbanding 2017.

Subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mencatatkan sebanyak RM6.68 bilion, mewakili 46 peratus daripada jumlah perolehan.

Eksport aeroangkasa turut mencatatkan nilai tertinggi sebanyak RM8.48 bilion pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya, dengan meningkat 20.7 peratus berbanding 2017.

Pada masa ini, Malaysia merupakan antara pembekal penting bagi komponen struktur pesawat, terutamanya untuk Airbus dan Boeing.

Malaysia telah menjadi sumber penting bagi komponen komposit dan logam kepada OEM, diterajui oleh syarikat tempatan Composites Technology Research Malaysia (CTRM) Sdn Bhd, SME Aerospace Sdn Bhd dan UMW Aerospace Sdn Bhd. — Bernama

Advertisement