Anda di sini

Brazil yakin akan terus raih kejayaan dalam Copa America

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Copa America Kumpulan A di antara Brazil dan Bolivia yang berlangsung di Stadium Morumbi di Sao Paulo Brazil. — Gambar Reuters
TINGGI DI UDARA: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Copa America Kumpulan A di antara Brazil dan Bolivia yang berlangsung di Stadium Morumbi di Sao Paulo Brazil. — Gambar Reuters

SAO PAULO: Dua jaringan Philippe Coutinho memberikan kejayaan kepada pasukan tuan rumah Brazil untuk memulakan kempen mereka dalam kejohanan Copa America kelmarin dalam kemenangan 3-0 ke atas Bolivia untuk melupakan ketiadaan bintang Neymar.

Coutinho, pemain Barcelona, menjaringkan gol menerusi tendangan penalti pada awal babak kedua dan menambah tandukan dari jarak dekat tiga minit kemudian.

Pemain gantian Everton menjaringkan gol ketiga yang sensasi lima minit sebelum tamat untuk mencatatkan kemenangan bagi pasukan jurulatih Tite yang merupakan pilihan untuk memenangi kejohanan di Sao Paulo.

Persiapan untuk pertandingan itu telah didominasi masalah Neymar, mula-mula apabila dia dituduh merogol seorang model dari Brazil, dan kemudian apabila dia mencederakan ligamen buku lali dalam perlawanan persahabatan pada minggu lepas, yang memaksanya dikeluarkan daripada Copa.

Jika prestasi Brazil pada babak pertama boleh dijadikan ukuran, ketiadaan bintang Paris Saint-Germain itu amat dirasai, tetapi dua gol Coutinho sekurang-kurangnya menutupi kelemahan dalam persembahan yang kadang-kadang tidak lancar.

Brazil memulakan perlawanan dengan rancak dan seperti yang diramalkan mendominasi permainan dan peluang awal.

Namun apa yang mengejutkan ialah ancaman terbesar mereka datang daripada situasi bola mati dengan tendangan sudut Coutinho yang menyebabkan panik dalam barisan pertahanan Bolivia.

Penjaga gol Bolivia Carlos Lampe menyekat bola secara automatik daripada kuisan Roberto Firmino yang menuju terus ke arahnya.

Beberapa minit kemudian, pemain pertahanan tengah yang tinggi lampai Thiago Silva tidak dikawal lapan ela dari gawang untuk menyambut satu lagi hantaran Coutinho, tetapi dia entah macam mana melakukan tandukan yang tersasar jauh.

Padang di stadium Morumbi tidak membantu melancarkan permainan bola sepak, dengan Bolivia yang khususnya bergelut untuk membuat hantaran dengan baik.

Brazil, yang memakai jersi putih dan seluar biru, menenun corak yang hampir geometrik di sekeliling pasukan pelawat yang hambar tetapi sukar untuk menguji Lampe.

Peluang terbaik mereka datang daripada kesilapan Bolivia dan Richarlison sepatutnya menyumbat bola ke dalam gawang terbuka apabila usaha Lampe yang buruk untuk mengeluarkan bola menyaksikan bola jatuh terus kepadanya, tetapi penyerang Everton itu gagal untuk mengangkat bola ke atas pemain pertahanan Adrian Jusino, yang menanduk bola keluar dari tepi kotak penalti.

Dengan 10 pemain di belakang bola, Bolivia ternyata sukar untuk dileraikan tetapi Casemiro nyaris menjaringkan gol dengan apa yang kelihatan seperti hantaran lintang yang terkena betis melepasi tiang jauh Lampe dan penjaga gol itu bergelut untuk melindunginya.

Pasukan Tite menerima ejekan daripada 67,000 penonton apabila wisel ditiupkan untuk waktu rehat.

Waktu terbaik Bolivia mungkin kelecekan nakal Raul Castro ke atas Casemiro di pinggir kotak penaltinya sendiri. Hasil ternyata tidak begitu lumayan.

Bagaimanapun semangat penyokong naik dengan cepat selepas babak kedua bermula, apabila Coutinho menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-50 selepas diberikan tendangan penalti yang kontroversi.

Hantaran lintang Richarlison terkena lengan Jusino, yang berada di sisinya dan hanya sedikit jauh dari badannya, tetapi selepas meneliti video pembantu pengadil, pengendali dari Argentina, Nestor Pitana, menunjuk ke petak penalti.

Bolivia terkejut dan hanya tiga minit kemudian, pertahanan mereka hilang apabila Firmini sampai ke garisan belakang padang dan mengangkat bola ke tiang belakang untuk Coutinho menanduk masuk dari jarak hanya dua ela sahaja.

Bolivia, yang ragu-ragu untuk melancarkan serangan, tidak pernah kelihatan akan kembali ke dalam perlawanan.

Tendangan sudut Coutinho terus mengemukakan peluang terbaik kepada Brazil, apabila Marquinhos menanduk terus ke arah Lampe dari jarak tujuh ela 15 minit sebelum tamat.

Perlawanan itu begitu hambar sekali ketika pemain gantian Everton menjaringkan gol ketiga yang sensasi, dengan memotong masuk dari sayap kiri sebelum dia meledakkan rembatan kencang ke sudut jauh dengan Lampe yang mati langkah. — AFP

Advertisement