Anda di sini

Belum ada laporan dua rakyat Sarawak ditahan di Korea Selatan - Mustafa Kamal

Advertisement
 

SIBU: Polis setakat ini belum menerima sebarang laporan berkaitan kes penahanan dua rakyat Sarawak di Korea Selatan yang didakwa terlibat dalam aktiviti haram dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak (JSJK), Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes tersebut.

Beliau turut mengalu-alukan jika terdapat pihak yang ada berkaitan supaya tampil membuat laporan polis berhubung kes terbabit.

"Setakat ini pihak kita masih belum menerima sebarang laporan berkaitan dengan kes terbabit. Kita percaya di setiap negara ada undang-undang berkaitan kes seumpama itu, begitu juga di Korea Selatan," jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita hari ini.

Dalam sidang media di Sibu pada Sabtu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Irene Chang mendedahkan kes penahanan dua lelaki rakyat Sarawak di Korea Selatan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti haram dalam talian.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an kini sedang menunggu perbicaraan di negara tersebut.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kes Irene yang turut menjadi mangsa penipuan setelah nama dan gambar profilnya digunakan untuk membuka akaun Facebook palsu untuk tujuan menipu seorang lelaki di Sarikei minggu lepas, Mustafa Kamal memberitahu, kes terbabit kini sedang dalam siasatan pihak polis.

"Ya, kita sedang menjalankan penyiasatan terhadap kes terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Beliau sekali lagi menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dengan sebarang bentuk tawaran sama ada peluang pekerjaan dengan gaji lumayan dan sebagainya.

"Sila buat semakan terlebih dahulu untuk memastikan tawaran itu betul atau sebaliknya. Pelbagai cara kita boleh membuat semakan, sama ada melalui internet, telefon dan sebagainya.

"Harus sentiasa berhati-hati supaya tidak mudah terjerat menjadi mangsa penipuan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement