Anda di sini

Bebas dengan jaminan polis

Advertisement
 Haziq (dua kanan) keluar dari Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi selepas dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam. — Gambar Bernama
TUMPUAN: Haziq (dua kanan) keluar dari Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi selepas dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan polis pada petang Jumaat berhubung video lucah, dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pembebasan itu dilakukan selepas polis selesai menjalankan siasatan pada peringkat ini.

“Dia dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (Kuala Lumpur) kira-kira jam 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.

Menurutnya, Haziq, 27, yang berasal dari Kuching, akan dipanggil semula apabila diperlukan.

Haziq merupakan individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Bernama melaporkan, peguamnya Ramesh Sivakumar berkata, anak guamnya memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses siasatan berkaitan video itu.

“Beliau (Haziq) sangat ceria serta tidak mempunyai masalah sepanjang siasatan kes ini berjalan,” katanya.

Laporan itu turut menyebut bahawa Ramesh berkata Haziq tidak mahu diganggu dan belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan media.

Haziq tiba di IPD itu pada kira-kira jam 4.30 petang diiringi beberapa anggota polis.

Pada petang Jumaat, Haziq yang dijadual berlepas ke Manila berdasarkan tiket penerbangannya, ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Haziq ditahan ketika berada di Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau seterusnya dibawa ke Balai Polis Batu 9 Cheras, Kuala Lumpur.

Haziq disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menjual buku-buku berkaitan lucah dan sebagainya, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Beliau juga disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pada pagi semalam, Haziq dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan.

Haziq kini digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang dinamakan oleh Haziq sebagai individu bersamanya dalam video lucah itu, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pembabitannya.

Video aksi ranjang yang dikatakan menampakkan susuk tubuh dua lelaki mula tersebar menerusi media sosial mulai Selasa.

Susulan itu, pada awal pagi Rabu, seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Haziq Aziz memuat naik video pengakuan menerusi Facebook Haziq Aziz.

  • oleh
  • Advertisement