Anda di sini

Alliance Steel wujud peluang niaga tempatan bernilai RM530j

Advertisement
 Wan Rosdy (kiri) beramah mesra dengan pekerja kilang keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd selepas melancarkan majlis pentauliahan rasmi bagi projek keluli berintegrasi 3.5 juta tan di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), semalam. — Gambar Bernama
RAMAH: Wan Rosdy (kiri) beramah mesra dengan pekerja kilang keluli Alliance Steel (M) Sdn Bhd selepas melancarkan majlis pentauliahan rasmi bagi projek keluli berintegrasi 3.5 juta tan di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Pelabur terbesar Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di sini, berjaya mewujudkan peluang perniagaan tempatan bernilai RM530 juta dalam tempoh tiga tahun penubuhannya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kewujudan ASSB di Gebeng di sini juga setakat ini terbukti membantu 2,700 anak tempatan mendapat peluang pekerjaan dengan tawaran gaji menarik.

“Impak pembangunan MCKIP dan pelaburan yang dibawa masuk telah menyaksikan pembangunan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan jalan, kemudahan utiliti, usaha peluasan pelabuhan dan rangkaian komunikasi yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pentauliahan projek pengeluaran 3.5 juta tan setahun keluli bersepadu milik ASSB, di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Hadir sama, Zhou Xiaoxi iaitu Presiden Guangxi Beibu Gulf International Port Co Ltd yang merupakan antara syarikat terbabit membangunkan ASSB sebagai pelabur terbesar MCKIP dengan kapasiti kawasan seluas 287.3 hektar.

Wan Rosdy berkata beliau turut dimaklumkan bahawa ASSB adalah antara lima syarikat utama China yang beroperasi di Malaysia dari segi pelaburan yang berjumlah RM5.6 bilion.

“Saya dimaklumkan bahawa 16.15 peratus (daripada pelaburan) telah digunakan untuk teknologi hijau termasuk (kemudahan kendalian barangan) konveyor tubular sepanjang 12 kilometer dari Pelabuhan Kuantan,” katanya.

Selain itu, Wan Rosdy turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited bagi memudahcara pelabur menjalankan perniagaan di sini, termasuk menerusi sokongan kerajaan Persekutuan dan agensi terlibat.

Sementara itu, Zhou Xiaoxi dalam ucapannya berkata ASSB yang membabitkan jumlah pelaburan AS$1.4 bilion (kira-kira RM5.84 bilion) merupakan usaha sama antara Guangxi Beibu Gulf International Port Company Limited dan Guangxi Shenglong Metallurgical Company Limited.

Syarikat itu turut mengamalkan prinsip ‘In Malaysia, For Malaysia’ (Di Malaysia, Untuk Malaysia) dan berpegang teguh kepada undang-undang negara ini selain menghormati budaya dan agama rakyat tempatan.

Menurutnya, projek ASSB yang mula beroperasi pada Mei tahun lalu turut menjadi contoh pembangunan besi keluli moden yang canggih serta mesra alam.

“Setakat ini, ASSB telah meraih pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti ISO serta pengiktirafan produk daripada 10 negara lain termasuk Singapura, United Kingdom, Korea Selatan, Thailand, Jepun serta China dan dipasarkan di 20 buah negara,” katanya. — Bernama

Advertisement