Anda di sini

Liga M3: Kuching FA tetap waspada berdepan SAMB FC

Advertisement
 Barisan pemain Kuching FA menjalani sesi latihan di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi SAMB FC malam ini.
SESI LATIHAN: Barisan pemain Kuching FA menjalani sesi latihan di Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi SAMB FC malam ini.

KUCHING: Pendahulu Liga M3, Kuching FA tetap berwaspada dengan kemampuan SAMB FC apabila melayan kunjungan pasukan dari Negeri Hang Tuah itu di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam ini.

Pengendali Kuching FA, Ideris Untong menjelaskan SAMB FC bukan seteru mudah sekalipun jurang perbezaan kedudukan antara mereka agak besar dengan pasukan itu menduduki tangga ke-10 ketika ini.

“Perbezaan kedudukan antara Kuching FA dan SAMB FC tidak boleh dijadikan ukuran kerana kita tidak tahu kekuatan dan kelemahan mereka.

“Namun, jika mengambil kira pertemuan dengan pasukan itu pada 2017 lalu dalam kempen Piala FAM, saya percaya SAMB FC bukan lawan yang mudah dan kita perlu berhati-hati kerana mereka boleh melakukan kejutan,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu di sini semalam.

Untuk mengelak darpada dikecewakan, Ideris sudah berkira-kira menurunkan barisan terkuat bagi memastikan tiga mata penuh tidak terlepas.

Percaturan utama pastinya menggandingkan penggempur terbaharu, Sufizal Ismail dan penjaring terbanyak Kuching FA, Joseph Kalang Tie di jentera serangan sambil dibantu perancang lincah dari Jepun, Yuta Suzuki.

Bek berpengalaman, Ramesh Lai dan pemain sayap, Mohammad Zainuddin Bohri menambah tonik kepada pasukan Kuching FA selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dapat diturunkan malam ini.

“Kelebihan masih memihak kepada kita kerana bermain di tempat sendiri. Justeru, saya mahu semua pemain memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu dengan menghadiahkan kemenangan kepada penyokong.

“Kita menyasarkan tiga mata penuh pada perlawanan ini untuk memastikan Kuching FA terus kekal menguasai Liga M3 musim ini,” kata Ideris.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kuching FA mengumpul 19 mata hasil daripada enam kemenangan dan sekali seri sekali gus menerajui Liga M3.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 8.15 malam ini.

Advertisement