Anda di sini

Lebih 200 pelajar bersaing pada Kejohanan Olahraga SMK Tung Hua

Advertisement
 Ting (tengah) merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Tung Hua di Sibu, semalam.
BERMULA TEMASYA: Ting (tengah) merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan SMK Tung Hua di Sibu, semalam.

SIBU: Lebih 200 pelajar bersaing pada Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua edisi ke-46 di Stadium Tun Zaidi, di sini semalam.

Pelajar-pelajar sekolah tersebut bersaing mengambil bahagian dalam acara trek dan padang.

Kejohanan sukan tahunan dua hari itu dirasmikan oleh Kapitan Ting Tien Tiong mewakili Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SMK Tung Hua, Temenggung Datuk Vincent Lau.

Dalam ucapan perasmiannya beliau menekankan pendidikan jasmani dan sukan penting bagi perkembangan pelajar-pelajar dan golongan muda.

Ting menjelaskan Hari Sukan sekolah terbukti membantu meningkatkan kedua-dua perkembangan mental dan fizikal pelajar.

“Melalui penyertaan aktif pelajar dalam aktiviti sukan sekolah dapat memperolehi pelbagai kemahiran, pengalaman dan ilmu penting dalam perkembangan personaliti mereka.

“Justeru, melalui sukan membentuk keperibadian pelajar meningkatkan tahap disiplin diri dan diyakini dapat melakukan terbaik dalam akademik,” katanya.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tung Hua, James Wong serta timbalannya, Donny Tang dan Pengetua SMK Tung Hua, Goi Nguok Yew.

Ting menambah penyertaan mereka dalam aktiviti sukan menjadikan mereka kuat dan sihat.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada jawatankuasa penganjur dan semua terlibat menjayakan sukan tahunan itu.

Sementara itu, Tang menyampaikan tajaan ganjaran insentif tunai daripada persatuannya kepada semua tiga pemenang pada temasya sukan itu.

Ganjaran insentif tunai diserahkan kepada pengerusi penganjur, Goi Nguok Yew.

Advertisement