Anda di sini

Jepun mahu pamer ‘kekuatan’ sebenar di Copa America

Advertisement
 Pemain kebangsaan Jepun menjalani sesi latihan sebagai persediaan untuk Copa America di Brazil. — Gambar AFP
BERSEMANGAT: Pemain kebangsaan Jepun menjalani sesi latihan sebagai persediaan untuk Copa America di Brazil. — Gambar AFP

SAO PAULO: Jepun merancang untuk mempamerkan ‘kekuatan’ mereka di Copa America apabila pasukan ‘Blue Samurai’ membuat penampilan keduanya mereka sebagai pasukan jemputan dalam Kumpulan C yang sukar di samping juara bertahan Chile, kata jurulatih Hajime Moriyasu kelmarin.

“Saya benar-benar mengalu-alukan kesempatan untuk bermain dalam Copa America, ia merupakan salah satu kejohanan peringkat tertinggi di dunia,” kata jurulatih itu kepada pemberita di Sao Paulo.

“Bagaimana kami dapat menunjukkan kekuatan kami dan cara kami bermain, itulah apa yang kami ingin tahu di kejohanan ini,” tambah jurulatih naib juara Piala Asia itu.

Jepun mungkin bukan antara pasukan pilihan tetapi Moriyasu menegaskan pemainnya tiba di Brazil dengan pola pemikiran kemenangan.

“Kami akan bermain untuk memenangi kejuaraan, tetapi pertama sekali bagi kami adalah untuk bermain perlawanan demi perlawanan dan melakukan yang sebaik mungkin dalam setiap perlawanan, selepas itu baharu memikirkan perlawanan seterusnya,” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Sebelum ini Moriyasu telah mengumumkan Copa America akan bertindak sebagai pemanas badan bagi Sukan Olimpik yang akan diadakan di Tokyo pada tahun depan.

Pasukan Jepun tiba di Brazil pada Rabu lepas dan akan bermain dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Chile di Sao Paulo pada Isnin.

Mereka mengadakan sesi latihan pertama mereka kelmarin di ibu pejabat kelab gergasi Brazil, Sao Paulo, di mana kira-kira 400 kanak-kanak dan orang dewasa yang berketurunan Jepun menonton latihan selama sejam.

Perlawanan pertama mereka mungkin akan rasa seperti perlawanan di tempat sendiri kerana masyarakat pendatang Jepun adalah besar di metropolis yang luas dan besar itu.

Terdapat kira-kira 1.5 juta orang berketurunan Jepun di Brazil, kebanyakan mereka tinggal di Sao Paulo.

Mereka memulakan cabaran mereka dalam Kumpulan C di stadium Morumbi menentang juara bertahan dua kali berkenaan, yang memiliki pemain hebat seperti Arturo Vidal dari Barcelona dan Alexis Sanchez dari Manchester United.

“Chile merupakan salah sebuah pasukan paling kuat di dunia,” kata Moriyasu.

Jepun pernah mengambil bahagian sebagai pasukan jemputan di Paraguay pada 1999, apabila mereka menamatkan kempen tanpa sebarang kemenangan dan tersingkir pada pusingan pertama ekoran kekalahan kepada Peru (3-2) dan pasukan tuan rumah (4-0), tetapi mereka seri 1-1 dengan Bolivia.

Dalam kejohanan ini, mereka diundi ke dalam Kumpulan C bersama Chile, juara rekod 15 kali Uruguay, dan Ecuador.

Jepun membuat persiapan yang ringan bagi kejohanan ini, dengan menewaskan El Salvador 2-0 dan seri 0-0 dengan Trinidad & Tobago. — AFP

Advertisement