Anda di sini

Hazard ingin menjadi seorang ‘Galatico’ di Real Madrid

Advertisement
 Hazard (tengah) bergambar dengan ahli keluarganya semasa sesi pengenalan rasmi sebagai pemain baharu Real Madrid di Stadium Santiago Bernabeu. — Gambar AFP
PERJALANAN BAHARU: Hazard (tengah) bergambar dengan ahli keluarganya semasa sesi pengenalan rasmi sebagai pemain baharu Real Madrid di Stadium Santiago Bernabeu. — Gambar AFP

MADRID: Eden Hazard kelmarin berkata dia mahu menjadi seorang ‘Galactico’ di Real Madrid dan percaya dia menyertai kelab itu pada waktu paling baik dalam kariernya.

Hazard diperkenalkan kepada kira-kira 50,000 peminat di stadium Santiagio Bernabeu selepas penghijrahan pemain Belgium yang sudah lama dinantikan dari Chelsea itu disahkan pada minggu lepas.

“Saya bukan seorang ‘galactico’, belum lagi, tetapi saya harap saya akan menjadi seorang suatu hari nanti,” kata Hazard di satu sidang akhbar kemudian.

“Walaupun saya sudah melakukan segalanya pada masa lalu, ia umpama bermula semula dari kosong. Saya bukan seorang galactico, saya adalah Eden Hazard, hanya seorang pemain yang sangat bagus.”

Madrid akan membayar 100 juta euro (RM480 juta) yang pertama bagi Hazard kepada Chelsea, manakala 45 juta euro lagi (RM216 juta) dijangkakan daripada penambahan berpotensi untuk pemain berusia 28 tahun itu, yang menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab baharunya.

Hazard mengakui Madrid ada mengambil langkah untuk mendapatkannya selepas Piala Dunia pada tahun lepas tetapi menegaskan sekarang adalah masa yang sesuai untuk meninggalkan Chelsea.

“Saya tidak rasa ia sudah terlalu lewat, saya berusia 28 tahun, waktu terbaik bagi seorang pemain,” kata Hazard.

“Saya ada pelbagai fasa dalam karier saya, di Lille dan Chelsea, dan sekarang saya rasa masanya tepat untuk menyertai kelab terbaik di dunia.”

Madrid bergelut tanpa Cristiano Ronaldo pada musim lepas dan Hazard akan ditugaskan untuk membantu mengisi kekosongan itu.

Walaupun Eder Militao, Luka Jovic dan Ferland Mendy juga tiba pada musim panas ini, Hazard merupakan pembelian kenyataan yang pertama sejak Zinedine Zidane dilantik semula untuk menjadi pengurus pada Mac lalu.

“Apabila kita bermain untuk sebuah pasukan seperti Real Madrid, seorang pun bintang tidak ada, pasukan adalah bintang,” kata Hazard.

“Saya sudah berada di Chelsea selama tujuh tahun, tetapi sekarang saya adalah orang baharu dalam pasukan dan saya akan cuba menyumbang sebanyak mungkin.”

Ditanya sama ada dia mahu menjadi pemain terbaik di dunia di Real Madrid, Hazard berkata: “Saya akan cuba tetapi terlebih dahulu saya akan cuba berada dalam pasukan terbaik di dunia.

“Ia adalah tahap berbeza. Saya begitu berjaya sekali bersama Chelsea dan saya juga mahu menang banyak bersama Madrid. Berada di sini adalah satu cabaran baharu.”

Hazard mengakui Zidane juga faktor penting dalam keputusannya.

“Semua orang tahu Zidane merupakan idola saya ketika membesar,” katanya. “Hakikat bahawa dia adalah jurulatih merupakan faktor penting tetapi bukan satu-satunya. Saya sudah pun mahu bermain di sini.

“Saya seorang budak yang bermain bola sepak di taman bersama adik beradik saya ketika saya mula menjadi peminat Real Madrid.

“Kemudian saya pergi ke Perancis, kemudian ke England, tetapi menjadi pemain Real Madrid, memakai jersi ini, ia adalah satu penghormatan. Saya tidak sabar lagi mahu memulakan musim.”

Jersi yang dipakai oleh Hazard di depan penyokong dipamerkan tanpa nombor dan dia mengakui dia telah memberitahu Mateo Kovacic di Chelsea untuk bertanya kepada rakan senegaranya dari Croatia, Luka Modric, tentang nombor 10.

“Saya dapat bercakap dengan Modric menerusi Kovacic dan saya bergurau ketika saya memintanya meminjamkan nombor 10 kepada saya,” kata Hazard. “Dia kata tidak, jadi saya terpaksa mencari nombor lain.”

Hazard menjaringkan 110 gol dalam tujuh musim di Chelsea dan dipilih untuk menyertai pasukan terbaik Liga Perdana PFA empat kali.

Pada hujung musim 2014-15, dia dianugerahkan ‘PFA Players’ Player of the Year’ dan ‘Premier League Player of the Season’.

“Dalam bola sepak, kita dapat sentiasa bertambah baik, kita tidak pernah mencapai had kita,” kata Hazard.

“Ruang sentiasa ada untuk bermain dengan lebih baik, baik secara individu mahupun secara kolektif. Saya berada dalam waktu yang bagus dalam karier saya, tetapi pasukan ini dapat membolehkan saya untuk menaikkan standard ke tahap yang jauh lebih tinggi lagi.” — AFP

Advertisement