Anda di sini

Brazil harus berusaha menang ketika ketiadaan Neymar yang masih cedera

Advertisement
 Pemain pasukan Brazil mengadakan sesi latihan di Stadium Morumbi sebagai persediaan untuk kejohanan Copa America yang akan berlangsung dari 14 Jun sehingga 7 Julai di Brazil. — Gambar AFP
BERSEDIA: Pemain pasukan Brazil mengadakan sesi latihan di Stadium Morumbi sebagai persediaan untuk kejohanan Copa America yang akan berlangsung dari 14 Jun sehingga 7 Julai di Brazil. — Gambar AFP

SAO PAULO: Ketiadaan penyerang bintang Neymar kerana cedera tidak mengubah apa-apa bagi Brazil di Copa America, kata pemain tengah Casemiro kelmarin, sambil menegaskan pasukan tuan rumah mesti menang tidak kira apa pun cabaran yang bakal dihadapi.

Neymar tidak akan bermain dalam kejohanan utama Amerika Selatan itu selepas tercedera di ligamen buku lali pada minggu lepas dalam perlawanan persahabatan pemanas badan kedua terakhir pasukan Selecao.

Penyerang Paris Saint-Germain itu mengalami kecederaan pada waktu dia berdepan dengan tuduhan seorang peragawati Brazil bahawa Neymar merogolnya di sebuah hotel di ibu negara Perancis.

“Tidak kira apa pun pertandingan yang kami sertai, Brazil adalah pasukan pilihan dan mesti menang,” kata Casemiro semalam sebelum perlawanan pembukaan menentang Bolivia di Sao Paulo.

“Tidak syak lagi, walaupun tanpa Neymar – bintang utama Brazil – kami masih sangat kuat,” tambah pemain Real Madrid itu.

Brazil mengintai kejayaan kesembilan di Copa America dan mengecapi kemenangan setiap kali mereka menjadi tuan rumah: pada 1919, 1922, 1949 dan 1989.

Namun mereka tidak pernah menjulang piala itu sejak 2007 ketika mereka menang kali keempat dalam lima edisi sejak 1997.

“Kami tidak dapat bersembunyi daripada tanggungjawab itu,” kata jurulatih Tite. “Kami tahu bahawa kami perlu maju selangkah demi selangkah ke arah kejuaraan itu.”

Sementara dia mengakui ia adalah satu tamparan untuk tidak bermain bersama “seorang daripada tiga pemain terbaik di dunia”, dia berkata skuadnya tidak memikirkan tentang ketiadaan Neymar.

“Bagi kami, kami lebih banyak bercakap mengenai Neymar di sini (di sidang akhbar) berbanding ketika kami berlatih. Kami bercakap mengenai persiapan pada keseluruhannya,” kata Tite kepada pemberita di stadium Morumbi di mana Brazil menentang Bolivia.

Brazil  bersiap sedia untuk kejohanan ini dengan kemenangan pada minggu lepas ke atas Qatar (2-0), yang akan membuat penampilan mereka di Copa America sebagai pasukan jemputan esok (Ahad), dan Honduras (7-0).

“Pasukan kami sangat kuat. Anda dapat lihat dengan tujuh gol itu, seluruh pasukan sama-sama meraikan kemenangan,” kata Tite.

Skuadnya mahu memadamkan memori pahit ekoran kekecewaan mereka lima tahun lalu ketika mereka menganjurkan Piala Dunia.

Kekalahan 7-1 pada peringkat separuh akhir di tangan Jerman memusnahkan harapan mereka untuk memenangi kejuaraan global pertama sejak 2002.

“Kami bersedia, kami menunjukkannya dalam dua perlawanan persahabatan ini, yang pada pendapat saya adalah permainan terbaik kami sejak Piala Dunia” di Rusia pada tahun lepas, tambah Casemiro. — AFP

Advertisement