Anda di sini

220 pemain dari 24 negara berentap

Advertisement
 Abang Johari (tiga kanan) menyerahkan trofi cabaran kepada Mohd Anwar sambil disaksikan (dari kiri) Zulkifli, Hoan, Abdul Karim, Hii dan Henry di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon
TROFI CABARAN: Abang Johari (tiga kanan) menyerahkan trofi cabaran kepada Mohd Anwar sambil disaksikan (dari kiri) Zulkifli, Hoan, Abdul Karim, Hii dan Henry di Kuching semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia (MAO) Ke-117 bukan sekadar menyaksikan pemain-pemain amatur terbaik di rantau ini malah pemain-pemain tempatan berbakat merebut kejuaraan kejohanan golf amatur kedua tertua di dunia berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini minggu hadapan.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata kejohanan berprestij itu berjaya menarik penyertaan seramai 220 pemain dari 24 buah negara.

“MAO menarik penonton dan peminat-peminat dari rantau ini dan memberi peluang mempamerkan keindahan Sarawak dalam fasiliti golf, kepelbagaian budaya dan aktiviti yang ditawarkan.

“Saya sangat gembira MGA menganugerahkan kejohanan berprestij ini kepada Bandar raya Kuching selaku tuan rumah terutamanya bagi mempromosikan Tahun Melawat Sarawak (TMS) 2019.

“Pelancongan golf adalah sesuatu semakin berkembang dan meluas di Malaysia malah merupakan sebahagian penting dari segi ekonomi,” katanya ditemui ketika menerima trofi cabaran daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya semalam.

Mohd Anwar berkata, bagi mereka yang akan bertanding berpeluang merasai keseronokan dan mendapatkan pengalaman berharga dalam acara antarabangsa yang tidak boleh didapati di tempat lain.

“Selain memupuk bakat-bakat pemain golf, MGA berharap melalui penganjuran kejohanan antarabangsa dan berprestij seperti MAO, pemain-pemain muda boleh menggunakan permainan golf untuk mendapatkan keyakinan terhadap kemampuan dan meningkatkan kemahiran peribadi mereka.

“Nilai-nilai golf diambil secara serius dan disiplin serta semangat kesukanan ini dapat diteruskan dalam kehidupan seharian sama ada mereka meneruskan ke tahap lebih tinggi atau tidak.

“Bagi kerajaan Sarawak, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan berterusan terhadap acara ini, MGA dan Persatuan Golf Sarawak (SGA) kerana memberi peluang kepada ramai pemain tempatan bermain di padang bertaraf dunia dalam MAO,” katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Setiausaha MGA Datuk Zulkifli Ismail, Presiden SGA, Hoan Kee Hock dan Kapten KGS, Henry Chuo.

  • oleh
  • Advertisement