Anda di sini

Terima kasih Chong Wei - Tun M dan isteri

Advertisement
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terharu dan sedih selepas jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei mengumumkan untuk bersara daripada arena badminton, semalam.

“Saya harap dia dapat rehat dan sembuh daripada penyakit yang dihadapi olehnya. 

“Saya ucap terima kasih kepada Lee Chong Wei kerana meletakkan Malaysia dalam sukan dunia sebagai ‘champion’ berkali-kali.

“Kami akan merasa kehilangan champion kita kerana Chong Wei terpaksa bersara,” kata perdana menteri menerusi ucapan berbentuk klip video di laman Twitter, Facebook dan Youtube, hari ini.

Klip video berdurasi 1 minit 58 saat itu turut memaparkan isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain berusia 37 tahun itu.

“Tak apa Chong Wei, anda tidak beroleh peluang untuk meraih pingat emas Olimpik. Tak apa Chong Wei. Bagi saya, kesihatan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata Chong Wei membuat keputusan tepat untuk bersara kerana isteri dan dua anak lelakinya akan sentiasa berada di sisinya.

“Seperti yang anda telah nyatakan, anda kini melatih mereka (anak lelaki) untuk bermain badminton. Insya-Allah, anda akan melihat anak lelaki anda bermain badminton dan memenangi pingat emas Olimpik untuk anda apabila mereka berpeluang berbuat demikian.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan usah dikesalkan (walau apa pun), kerana seperti yang anda katakan, anda telah lakukan yang terbaik buat negara, diri sendiri, keluarga anda dan kami semua.

“Jadi, Chong Wei, saya doakan semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik, dan kebahagian bersama keluarga dan dua anak lelaki anda. Terima kasih Chong Wei,” kata Dr Siti Hasmah.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah keringat  sebagai pemain badminton negara.

Antara pencapaian terbaik Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir beliau merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya. - BERNAMA

Advertisement