Anda di sini

Real terus berbelanja besar, pembelian Mendy dilaporkan sekitar 50 juta euro

Advertisement
 Mendy (kanan) ketika beraksi bersama Lyon pada perlawanan Ligue 1 Perancis menentang Caen di Stadium Groupama, Lyon pada 18 Mei lepas. — Gambar AFP
PERTAHANAN KENTAL: Mendy (kanan) ketika beraksi bersama Lyon pada perlawanan Ligue 1 Perancis menentang Caen di Stadium Groupama, Lyon pada 18 Mei lepas. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Real Madrid meneruskan perbelanjaan besar mereka pada musim panas ini apabila melengkapkan pembelian pemain pertahanan kiri, Ferland Mendy dari kelab Lyon Rabu lepas.

Mendy menandatangani kontrak enam tahun di Madrid, yang sudah menambah empat pemain baharu untuk musim baharu selepas kehadiran Eder Militao, Eden Hazard dan Luka Jovic.

Hazard adalah pemain paling mahal di antara empat pemain ini, yang menyertai Real dengan satu perjanjian yang boleh mencapai 145 juta euro sementara Militao dan Jovic masing-masing bernilai 50 dan 65 juta euro.

Yuran untuk Mendy dilaporkan sekitar 50 juta euro dan ia bermakna perbelanjaan kelab setakat ini adalah sekitar 300 juta euro.

“Real Madrid dan Lyon sudah mencapai persetujuan untuk perpindahan Ferland Mendy,” menurut satu kenyataan rasmi kelab. “Pemain akan diberikan kontrak di Real Madrid selama enam musim, sehingga 30 Jun 2025.”

Mendy akan diperkenalkan kepada penyokong di Santiago Bernabeu pada 19 Jun dan pemain berusia 24 tahun itu mungkin harus bersaing dengan pemain berpengalaman di posisi beliau seperti Marcelo dan pemain berbakat Sergio Reguilon untuk kesebelasan utama.

Sama ada kehadiran beliau akan memberi impak kepada masa depan Marcelo, yang mengharungi musim sukar dan dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus atau Reguilon, ia menjadi tanda-tanya.

Mendy mengharungi kempen memberangsangkan bersama Lyon musim lepas, beraksi 30 perlawanan dalam Ligue 1 dan membantu Lyon melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara. Beliau juga dipanggil kali pertama ke skuad Perancis pada bulan November.

“Beliau mengharungi satu peningkatan mendadak,” kata jurulatih kebangsaan Perancis, Didier Deschamps Isnin lepas. “Dua tahun lepas, beliau beraksi dalam Ligue 1 dan sekarang beliau akan bermain untuk Real Madrid.”

Mendy datang dari akademi kelab di Paris Saint Germain (PSG) tetapi kecederaan artritis mengancam menamatkan kariernya lebih awal. Sebaliknya, beliau berpindah ke Le Havre sebelum menyertai Lyon untuk hanya 5 juta euro pada 2017.

Pengesahan kehadiran Mendy tiba beberapa jam selepas Jovic diperkenalkan kepada penyokong Real Madrid di Santiago Bernabeu. — AFP

Advertisement