Anda di sini

Persatuan hargai Pengarah JPN selesaikan masalah dokumentasi

Advertisement
KELIHATAN (dari kiri) rombongan Lee (tiga kiri) bergambar bersama Musa (tiga kanan) serta Flora (kanan) sempena kunjungan itu.
KELIHATAN (dari kiri) rombongan Lee (tiga kiri) bergambar bersama Musa (tiga kanan) serta Flora (kanan) sempena kunjungan itu.

KOTA KINABALU:  Presiden Persatuan Hak Asasi Rakyat Sabah Lee Pun Yee bersama ahli jawatankuasanya mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini. 

Mereka disambut oleh Pengarah JPN, Datuk Musa Sulaiman.

Kunjungan itu berikutan aduan daripada seorang warga pemastautin tetap, Flora Monte De’ramos, mengenai pas lawatan anak perempuannya yang berstatus tanpa kewarganegaraan.

Menurut Lee, anak perempuan pengadu yang berusia 20 tahun ini adalah hasil perkhawinan Flora dengan suaminya yang bertaraf warganegara Malaysia. 

Namun, disebabkan kelambatan pendaftaran perkahwinan, anak tersebut masih belum memiliki sijil kewarganegaraan Malaysia.

“Pasangan tersebut pernah membuat permohonan sebanyak lima kali (setiap dua tahun) kepada KDN bagi anaknya, tetapi  masih tidak berjaya. 

"Desakan dan kebimbangan terhadap nasib anak ini menyebabkan mereka bercadang ke Kuala Lumpur untuk mencari jawapan.

“Flora serta anaknya dijadualkan bertolak  ke Putrajaya pada Ahad ini (16 Jun)  namun permohonan pas lawatan anaknya tidak  diluluskan walaupun telah mengemukakan permohonan seawal  3 Jun. 

"Alasan yang diberikan pegawai Imigresen adalah dokumentasi tidak lengkap serta belum ditandatangani oleh pihak atasan,“ jelas Lee.

Di bawah penelitian dan bantuan Pengarah JPN, Datuk Musa, masalah pas lawatan berjaya diselesaikan. 

Menurut beliau, biasanya permohonan seumpama itu akan diluluskan dengan segera jika tiada masalah dengan dokumentasi.

Lee merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Musa atas tindakan segera serta keprihatinannya dalam isu ini.

Advertisement