Anda di sini

Perasaan bercampur-baur menyelubungi BAM

Advertisement
 Chong Wei bersama Syed Saddiq (tiga kiri), Norza Zakaria (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama
KEHILANGAN BESAR: Chong Wei bersama Syed Saddiq (tiga kiri), Norza Zakaria (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perasaan bercampur-baur menyelubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika menerima dan menghormati keputusan persaraan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan tersebut adalah atas kemahuan pemain berusia 37 tahun itu sendiri dan bukan atas sebab lain.

“Sebagai presiden, saya amat sedih untuk menerima pendirian legenda kita yang mengambil keputusan untuk menggantung raketnya,” katanya  pada sidang media khas Chong Wei di pejabat Kementerian Belia dan Sukan di sini hari ini.

“Amat sedih dengan emosi yang bercampur-baur kerana sebagai peminat badminton, saya tidak lagi dapat menyaksikan kelibat Chong Wei yang dengan penuh gaya dan emosi yang kuat dalam gelanggang serta memberi inspirasi kepada ramai peminat dan pemain.

“‘Sebagai rakyat Malaysia, kita kehilangan seorang legenda yang sentiasa boleh diharapkan,” katanya.

Turut sama pada sidang media itu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim.

Pada sidang media khas itu, Chong Wei mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah keringat dalam sukan tersebut.

Chong Wei menjelaskan keputusan yang sukar itu dibuat demi mengutamakan kesihatannya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan betapa besar sumbangannya kepada negara khususnya dalam arena badminton yang sangat dicintai atlet kelahiran Pulau Pinang itu.

Beliau berkata pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu, satu-satunya pemain negara yang sentiasa menjadi tumpuan setiap kali berada di gelanggang pertandingan sama ada di temasya Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia atau sebarang kejohanan utama yang disiarkan melalui televisyen.

Katanya, beliau berbesar hati kerana berpeluang mendekati Chong Wei sejak berada dalam kepimpinan BAM dan melihat jatuh bangun pemain legenda itu sehingga namanya berada di kemuncak di pentas dunia.

“Walaupun dengan semua kejayaannya, beliau sentiasa merendah diri, dihormati dan masih dahagakan kejayaan sejak hari pertama kariernya.

“Perjuangannya bukan  sahaja untuk dirinya tetapi untuk badminton negara. Saya harap Chong Wei akan sentiasa bersama kami dalam merangka pelan untuk mencari penggantinya,” katanya.

Mohamad Norza berkata bagi pihak BAM, jurulatih, pemain dan kakitangan persatuan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Chong Wei atas semua kenangan dan sumbangannya buat negara.

“Sudah pasti seluruh dunia akan merindui ‘Raja Super Series’ ini dan rakyat Malaysia akan merindui wira sukan negara dan ikon. Dalam generasi pemain yang hebat...anda adalah yang terbaik,” katanya. — Bernama

Advertisement