Anda di sini

Masalah parkir akan diatasi

Advertisement
CHEN (tengah) dan Frankie (kiri) ketika meninjau alat-alat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.
CHEN (tengah) dan Frankie (kiri) ketika meninjau alat-alat rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

KOTA KINABALU: Masalah parkir yang dihadapi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas bakal diatasi dengan cadangan pembinaan lebih 200 ruangan letak kenderaan pada masa hadapan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, perbincangan sudah dilakukan dan terdapat sebidang tanah kosong dimiliki kerajaan negeri boleh digunakan untuk tujuan itu.

"Cadangan untuk membina kawasan parkir bertingkat akan dipertimbangkan memandangkan kawasan tanah juga terhad.

"Saya yakin dengan siapnya tambahan ruangan parkir ini di masa hadapan, ianya mampu memberikan keselesaan kepada para pengunjung di hospital ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di sini.

Beliau berkata, prestasi hospital berkenaan sangat dibanggakan kerana sehingga kini sudah memberikan perkhidmatan terbaik terhadap pesakit di sini.

Katanya, hospital berkenaan juga memberikan rawatan kepada pesakit dari Limbang, Lawas dan Labuan yang mana mereka dirujuk bagi menerima pemeriksaan di sini.

"Bagi permohonan alat perubatan baharu serta kekangan sumber manusia di sini...perkara ini sudah dibincangkan dan akan dipertimbangkan.

"Pemohonan alat perubatan baharu akan diberikan mengikut keutamaan...saya melihat alat yang ada di sini masih baharu dan hanya berusia dalam lingkungan lima tahun.

"Banyak lagi hospital di negara ini memerlukan contohnya seperti di Johor Bahru, bagaimanapun kita akan mempertimbangkannya," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, beliau sebagai menteri baharu dalam kementerian berkenaan masih memerlukan masa bagi mengetahui segala permasalahan yang dihadapi oleh hospital di negeri ini.

Katanya, usaha sama dengan kerajaan persekutuan akan diteruskan pada masa hadapan demi kebaikan rakyat.

  • oleh
  • Advertisement