Anda di sini

Lapan lokasi persembahan tarian sempena Sabah Fest tahun ini

Advertisement
CHRISTINA (lima, kanan) bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan selepas sidang media berkenaan.
CHRISTINA (lima, kanan) bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan selepas sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Sebanyak lapan lokasi menjadi tempat persembahan pelbagai tarian  tempatan sempena penganjuran Sabah Fest tahun ini yang akan berlangsung bermula 15 Jun hingga 7 Julai depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, Laman Seni Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) menjadi lokasi pertama yang juga lokasi pelancaran Sabah Fest.

"Selepas itu, lokasi kedua akan diadakan di pusat membeli belah Oceanus pada 16 Jun jam 5 petang. Seterusnya pada 22 Jun di pusat membeli belah Imago bermula jam 7 malam.

" Lokasi keempat dan kelima Sabah Fest akan diadakan di Centre Point Sabah serta Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 22 Jun dan 29 Jun bermula pukul 2 petang dan 7 malam.

" Tiga lokasi terakhir pula di pusat membeli belah Suria Sabah (30 Jun, pukul 1 petang), Night Food Market, Gaya Street (6 Julai, pukul 7 malam) dan Pasar Minggu, Lintasan Deasoka pada 7 Julai pukul 8 pagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar penganjuran Sabah Fest 2019 di Wisma Tun Fuad, di sini pada Khamis.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu juga berkata pada hari pelancaran akan diadakan demonstrasi pembuatan serta pameran kraf tangan, makanan tradisional, bazar kebudayaan, trak makanan dan banyak lagi.

Selain itu katanya, persembahan tarian kebudayaan dari dua kumpulan kebudayaan orang asal iaitu Persatuan Kebudayaan Kesenian Warisan Tobilung Sabah (Tarian Mongigol; Kota Marudu) dan Persatuan Simunul Semporna iaitu tarian Igal Tabawan.

“Penampilan khas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2019, Francesca Esther Nain bersama lima peserta akhir UNK 2019 dengan johan dan naib johan Sugandoi Kaamatan 2019 iaitu Dabra Sia Ying Ying dan Eylia Eyra Guntabid,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai tarian etnik terutamanya dari kawasan luar bandaraya turut dipersembahkan kepada pengunjung sepanjang acara berkenaan.

Katanya, beberapa lokasi di sekitar bandaraya akan dipilih menjadi lokasi persembahan untuk  dapat memudahkan pelancong serta orang ramai melihat kepelbagaian tarian tradisional di negeri ini.

“Pelancong tempatan dan antarabangsa akan dapat melihat sendiri persembahan tarian tradisional seperti Sumazau Penampang, Igal-igal Semporna, Dansa Cocos Lahad Datu dan Magalang Magunatip," katanya.

Justeru, beliau mempelawa orang ramai untuk turut serta memeriahkan sepanjang acara Sabah Fest itu berlangsung.

Hadir sama ialah Pengurus Lembaga Kebudayaan Sabah Mansur Asun, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) William Baya, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Ken Pan Ying On dan Pemangku STB Noredah Othman.

  • oleh
  • Advertisement