Anda di sini

Keita turut disenarai dalam skuad 23 pemain Guinea untuk kejohanan Piala Negara Afrika

Advertisement
KEITA
KEITA

JOHANNESBURG, Afrika Selatan: Guinea memilih pemain tengah, Naby Keita untuk kejohanan Piala Negara Afrika di Mesir akhir bulan ini walaupun ada kebimbangan tentang kecederaan paha pemain kelab Liverpool itu.

“Saya belum cergas sepenuhnya untuk bermain,” kata pemain berusia 24 tahun itu selepas jurulatih Guinea, Paul Put, menamakan beliau dalam skuad 23 pemain untuk kejohanan dwitahunan di benua Afrika itu.

“Selepas menjalani latihan bersama bola di Liverpool, saya tiba di kem latihan Guinea di Maghribi dan saya bersedia untuk berlatih bersama pasukan.

“Saya mahu memberi jaminan kepada penyokong Guinea, jurulatih dan rakan sepasukan di mana saya percaya saya akan bersedia untuk perlawanan pertama kami.”

Guinea, yang tewas perlawanan persediaan menentang Gambia dan Benin, akan memulakan kejohanan dari Kumpulan B dengan menentang Madagascar pada 22 Jun, sehari selepas kejohanan bermula.

Keita mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Liverpool pada perlawanan menentang Barcelona di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara bulan lepas dan pengurus kelabnya, Jurgen Klopp, berkata beliau tidak akan dapat beraksi selama dua bulan.

Guinea dan Nigeria adalah pasukan pilihan untuk mara ke pusingan kedua dari kumpulan yang turut termasuk pendatang baharu kejohanan, Burundi dan Madagascar.

Dua pasukan teratas dari enam kumpulan akan mara bersama-sama empat pasukan terbaik di tempat ketiga pada kejohanan yang ditambah kepada 24 pasukan buat kali pertama.

Guinea hampir memenangi kejohanan Piala Negara-Negara Afrika pad 1976, apabila muncul naib juara di belakang Maghribi selepas satu-satu edisi di mana kejohanan berlangsung dalam format mini liga. — AFP

Advertisement