Anda di sini

Kanak-kanak maut ditinggalkan ibu 3 jam dalam kereta

Advertisement

LAHAD DATU: Seorang  kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta oleh ibunya hampir tiga jam di tepi jalan hadapan rumah di Taman Aman 1, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku selepas ibu mangsa mengambil dua orang anaknya dari sekolah jam 1 petang.

Katanya, sebaik tiba di rumah beliau memesan kepada anaknya untuk membawa adik mereka masuk ke rumah.

KELIBAT kanak-kanak ditemui di dalam kereta dengan keadaan terbaring dan mulut yang berbuih serta tidak sedarkan diri.
KELIBAT kanak-kanak ditemui di dalam kereta dengan keadaan terbaring dan mulut yang berbuih serta tidak sedarkan diri.

"Suspek berusia 31 tahun iaitu ibunya itu hanya menyedari ketiadaan bayinya jam 3.45 petang selepas dia solat, berehat di tingkat atas rumahnya dan turun untuk makan," katanya.

Menurut Nasri, selepas pasangan suami isteri yang mempunyai empat orang anak itu mencari sekitar dalam rumah, suspek keluar rumah untuk bertanyakan keberadaan anak bungsu mereka itu kepada jiran.

Akhirnya, kelibat kanak-kanak itu ditemui di dalam kereta bahagian tempat duduk belakang dengan keadaan terbaring dan mulut yang berbuih serta tidak sedarkan diri.

Mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Daerah Lahad Datu jam 4.39 petang namun disahkan meninggal dunia meskipun rawatan kecemasan dilakukan.

Hasil bedah siasatan doktor mengesahkan punca kematian disebabkan 'heat related death'.

Dijelaskan juga, kesan melecur di bahagian kiri muka dan lengan mangsa disebabkan keadaan panas yang berlaku selepas kematian.

Suspek ditahan sejurus laporan kes diterima pada hari yang sama jam 7.15 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

  • oleh
  • Advertisement