Anda di sini

Gol lewat Le Sommer pastikan Perancis kuasai Kumpulan A

Advertisement
 Le Sommer (kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan pada minit akhir perlawanan di Stadium Nice, Perancis kelmarin. — Gambar AFP
GOL KEMENANGAN: Le Sommer (kanan) meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan pada minit akhir perlawanan di Stadium Nice, Perancis kelmarin. — Gambar AFP

VALENCIENNES, Perancis: Eugenie Le Sommer memastikan Perancis melonjak ke tangga teratas Kumpulan A di Piala Dunia Wanita selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi tendangan penalti untuk menewaskan Norway sementara Jerman hampir pasti mengesahkan tiket ke pusingan kedua apabila menewaskan Sepanyol untuk mendahului Kumpulan B Rabu lepas.

Le Sommer menjaringkan gol penalti ketika berbaki 18 minit permainan selepas pengadil perlawanan, Bibiana Steinhaus membuat keputusan ekoran semakan video bantuan pengadil (VAR) selepas pemain pertahanan Norway, Ingrid Syrstad Engen menendang lutut Marion Torrent ketika berasak bola.

Ia adalah gol kedua Le Sommer pada kejohanan ini untuk meletakkan Perancis dengan enam mata maksima dari dua perlawanan dan menyelamatkan maruah Wendie Renard, yang menjaringkan gol sendiri untuk membolehkan Norway mengikat kedudukan 1-1 selepas Valerie Gauvin membuka jaringan buat Perancis pada minit ke-46.

Renard ternyata kelihatan tertekan selepas tertolak satu hantaran Isabell Herlovsen ke pintu golnya sendiri dan membolehkan Norway mengikat kedudukan.

“Saya melakukan satu kesilapan besar, menjaringkan gol sendiri, malang sekali bagi saya dan juga bagi pasukan saya,” kata Renard selepas perlawanan.

“Kami bagaimanapun tidak mengalah dan kemudian diberikan satu tendangan penalti.”

Le Sommer menjaringkan penalti untuk meletakkan Perancis di tangga teratas menjelang perlawanan terakhir kumpulan menentang Nigeria, yang menewaskan Korea Selatan 2-0 pada perlawanan awal dari gol sendiri Kim Do-yeon dan gol Asisat Oshoala.

Perancis ketika ini tiga mata di hadapan Nigeria dan Norway, yang perlu menewaskan Korea Selatan untuk mengesah tempat ke pusingan kedua.

Nigeria akan memburu kemaraan pertama ke pusingan kedua dalam tempoh 20 tahun selepas hanya meraih dua kemenangan di Piala Dunia dalam tempoh yang sama.

Tiga mata juga mungkin memadai buat Nigeria meneruskan kemaraan sebagai salah satu dari empat pasukan tempat ketiga terbaik tetapi Thomas Dennerby, jurulatih Nigeria, memburu satu keputusan menentang Perancis di Rennes Isnin depan.

“Perancis adalah pasukan yang sangat bagus, jika kami boleh membawa pulang satu mata, kami pastinya berasa sangat gembira,” tambah Dennerby.

Pada perlawanan awal, Jerman menangani ketiadaan pemain bintang, Dzsenifer Marozsan ketika Sara gol Daebritz menewaskan Sepanyol untuk melonjak pasukannya ke tangga teratas kumpulan.

Marozsan tidak akan beraksi sekurang-kurangnya sehingga tamat pusingan pertama kejohanan – menentang Afrika Selatan selepas mengalami kecederaan ketika kemenangan 1-0 ke atas China tetapi kemenangan sukar ke atas Sepanyol bermakna ketiadaan beliau mungkin tidak membimbangkan.

Jerman kini tiga mata di hadapan Sepanyol dan dengan kelebihan perbezaan gol, ia bermakna mereka memerlukan hanya satu mata pada perlawanan menentang Afrika Selatan Isnin depan untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Ini bermakna siapa sahaja yang menamatkan saingan di tempat kedua, dijangka akan menentang Amerika Syarikat (AS) sementara Jerman, akan bertemu salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga.

“Sasaran kami ialah untuk memenangi kumpulan pusingan pertama dan sekarang kami melakukannya. Kami mahu kemenangan pada perlawanan ketiga,” kata Daebritz.

Sepanyol, yang mensia-siakan banyak peluang walaupun menguasai bola, masih boleh meneruskan kemaraan jika menewaskan China Isnin ini.

Mereka dalam risiko dipintas China atau Afrika Selatan, yang turut memburu kelayakan selepas masing-masing tewas pada perlawanan pembukaan. — AFP

Advertisement