Anda di sini

BTS dapat jemputan sertai Recording Academy

Advertisement
 BTS telah dijemput untuk sertai Recording Academy.
CIPTA SEJARAH: BTS telah dijemput untuk sertai Recording Academy.

KUMPULAN pop sensasi dari Korea Selatan, BTS, telah dijemput untuk menyertai Recording Academy sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan kumpulan yang menganjurkan Anugerah Grammy setiap tahun itu.

Kumpulan yang dianggotai oleh tujuh lelaki muda itu, yang telah menerajui gelombang muzik K-pop di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain, merupakan antara kira-kira 1,300 orang artis, penulis dan profesional industri muzik yang dijemput untuk menjadi ahli-ahli Recording Academy yang berpangkalan di Los Angeles pada minggu lepas.

Jika mereka menerimanya, kumpulan itu layak untuk mengundi bagi Anugerah Grammy 2020, penghormatan tertinggi dalam dunia muzik, kata Recording Academy.

Ketua eksekutif label rekod mereka, Bang Si-hyuk dari Big Hit Entertainment, turut dijemput untuk menjadi ahli, kumpulan itu menyebut dalam satu kenyataan.

BTS mula-mula ditubuhkan di Seoul pada 2013 dan memecah pasaran pop AS pada 2017 untuk menjadi kumpulan pertama dari Korea yang memenangi anugerah muzik Billboard.

Kumpulan itu dicalonkan untuk album mereka ‘Love Yourself: Tear’ bagi Anugerah Grammy 2019 dan membuat penampilan pertama mereka di acara tersebut pada Februari lalu.

Recording Academy telah mengambil beberapa langkah sejak beberapa tahun lalu untuk mempelbagaikan lagi calon-calon Grammy dan mengembangkan keahlian yang dari segi tradisi telah didominasi lelaki-lelaki lebih dewasa.

Ia berkata 49 peratus daripada mereka yang dijemput untuk menyertai Recording Academy pada minggu lepas adalah wanita, dan 51 peratus berusia di bawah umur 40 tahun. — Reuters

Advertisement