Anda di sini

Bekas menteri Argentina dipenjara kerana sembunyi AS$9 juta di biara

Advertisement
LOPEZ
LOPEZ

BUENOS AIRES: Sebuah mahkamah kelmarin menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun ke atas bekas menteri di Argentina, Jose Lopez, selepas dia dicekup oleh polis ketika dia cuba menyembunyikan beg-beg yang disumbat dengan wang tunai sebanyak AS$9 juta (RM36 juta) di sebuah biara di Buenos Aires.

Kes itu menjadi lambang bagi gejala rasuah di negara itu dan mula-mula muncul apabila Lopez, 58, ditangkap ketika membaling 160 beg pakaian dan beg dufel ke atas sebuah tembok ke dalam taman biara berkenaan.

Seorang biarawati Katolik berusia 80 tahun, Sister Celia Ines Aparicio, yang didakwa bersubahat dalam kes itu, telah dibebaskan.

Lopez merupakan anggota sekumpulan pegawai yang rapat dengan mendiang presiden Nestor Kirchner serta pengganti dan isterinya Cristina Kirchner.

Lopez dan bekas ketua-nya yang juga bekas menteri perancangan Julio de Vido, yang turut dipenjara kerana kesalahan rasuah, mengurus projek-projek kerja raya kerajaan persekutuan di bawah pasangan Kirchner (2003-2015).

Isterinya, Maria Diaz, dijatuhi hukuman tertangguh selama dua tahun kerana bersubahat dalam kes itu.

Lopez, seorang bekas timbalan menteri kerja raya, juga disyaki menggelapkan wang dalam dua kes rasuah lain.

Dia telah dikurung dalam tahanan pencegahan di penjara Ezeiza di luar Buenos Aires.

Kirchner, sekarang seorang senator yang akan bertanding untuk jawatan naib presiden dalam pilihan raya pada Oktober, kini sedang menghadapi perbicaraan bagi rasuah yang berlaku selama dua penggal menjadi presiden Argentina dari 2007-2015. — AFP

Advertisement