Anda di sini

Terima nasihat, teguran Dr Mahathir dengan hati terbuka: Ahmad Malie

Advertisement
AHMAD
AHMAD

KUCHING: Penjawat awam persekutuan khususnya di Sarawak perlu menerima nasihat dan teguran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan hati yang terbuka.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri Sarawak Ahmad Malie berkata, nasihat dan teguran Dr Mahathir itu selaras kandungan dalam Bad Tatatertib Perintah Am yang menjadi pegangan serta panduan semua penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan amanah masing-masing selama ini.

“CNS (CUEPACS Negeri Sarawak) menyokong penuh gesaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar penjawat awam perlu menahan diri daripada tamat sehingga melakukan rasuah dan sentiasa sabar apabila berurusan dengan rakyat.

“CNS mengharapkan agar semua penjawat awam menerima nasihat dan teguran Perdana Menteri ini dengan hati terbuka,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ahmad yang juga Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berkata, Tataterbit Perintah Am Penjawat Awam Malaysia diperkukuhkan lagi dengan prinsip Tonggak Dua Belas yang juga merupakan panduan perkhidmatan kepada semua penjawat awam.

Justeru ujarnya, CNS tidak melihat nasihat Dr Mahathir sebagai sesuatu yang baharu.

Malah katanya, semua penjawat awam telah sedia maklum mengenai perkara itu.

Bagaimanapun katanya, CNS berpandangan nasihat Dr Mahathir itu satu penegasan terhadap peranan penjawat awam dalam melaksanakan tugas serta peranan masing-masing.

“Oleh itu, dengan adanya nasihat dan penegasan ini, CNS berharap ia akan menjadi peringatan juga pemangkin kepada semua penjawat awam dalam memastikan mereka dapat terus melaksanakan amanah dengan berintegriti tinggi.

“Di samping itu, sentiasa sabar berdepan dengan rakyat yang sentiasa memerlukan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata untuk rekod, CNS menegaskan prestasi perkhidmatan penjawat awam pada masa kini adalah pada tahap terbaik.

Namun katanya, tidak dapat dinafikan jika ada isu-isu yang timbul berkaitan penjawat awam, CNS menyifatkannya sebagai isu terpencil berbanding jumlah penjawat awam yang ada.

“Lantara itu CNS tetap berkeyakinan tinggi, prestasi penjawat awam negara pada tahap terbaik,” ujarnya.

Isnin lepas Bernama melaporkan Dr Mahathir sebagai sebagai berkata penjawat awam perlu menahan diri daripada berasa tamak sehingga melakukan rasuah, sabar supaya tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ia satu amanah.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu-isu yang melibatkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.

Katanya, Pelan Antirasuah Nasional yang komprehensif telah diterbitkan baru-baru ini sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah sama sekali.

“Usaha ini tidak boleh tercapai dengan mudah dan cepat, tetapi ia harus dimulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.

Advertisement