Anda di sini

Sumbangan besar import baharu ditagih

Advertisement
Ketua jurulatih Tambadau Sabah Jelius Ating (kanan) mengendalikan latihan dalam keadaan hujan lebat di padang sintetik Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Khamis. Tambadau Sabah sedang buat persiapan menghadapi Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas pada Sabtu ini. Gambar ihsan Media SAFA.
KETUA jurulatih Tambadau Sabah Jelius Ating (kanan) mengendalikan latihan dalam keadaan hujan lebat di padang sintetik Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Khamis. Tambadau Sabah sedang buat persiapan menghadapi Negeri Sembilan dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas pada Sabtu ini.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony mengharapkan sumbangan lebih besar dua pemain import baharu untuk pasukan beraksi lebih mantap apabila melayani kunjungan Negeri Sembilan pada saingan Liga Premier di Stadium Likas esok (Sabtu).

"Saya mengharapkan persembahan lebih mantap pasukan terutamanya selepas kita melakukan sedikit perubahan dengan membawa masuk dua pemain import baharu iaitu pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev dan penyerang dari Angola, Aguinaldo Mendes Veiga.

"Mereka telah beraksi dua perlawanan di tempat lawan sebelum ini dan telah membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa kalah. Bagaimanapun saya mengharapkan sumbangan lebih besar Ahmet dan Mendes terutama (Sabtu) ini adalah perlawanan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri," kata Peter ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambadau menang 1-0 ke atas UKM FC dan seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang pada dua perlawanan terakhir mereka di tempat lawan sebelum ini. Gol kemenangan ke atas UKM dijaringkan Mendes. Keputusan itu melebarkan rekod tanpa kalah Tambadau kepada lima perlawanan berturut-turut.

Beliau percaya, sumbangan lebih besar dari kedua-dua pemain itu akan secara langsung membantu mempertingkatkan kualiti pemain lain seterusnya memantapkan lagi pasukan.

Membawa masuk dua import baharu itu bulan lalu adalah antara usaha terkini SAFA di bawah kempimpinan Peter bagi memburu impian Sabah yang musim ini digelar Tambadau Sabah naik ke Liga Super musim depan.

PETER ANTHONY
PETER ANTHONY

"Seperti yang saya katakan sebaik diamanahkan menerajui persatuan (SAFA) ini penghujung tahun lalu bahawa saya akan cuba yang terbaik walaupun dengan tindakan tidak popular untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

"Ada jugalah protes dari segelintir pihak tetapi ia bukan halangan untuk kita terus fokus memartabatkan bola sepak Sabah dan meletakkan sasaran skuad Tambadau naik ke Liga Super musim depan," kata Peter.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, setakat ini beliau gembira dengan pencapaian pasukan.

"Tambadau Sabah kini di landasan baik untuk merealisasikan sasaran naik ke Liga Super.  Ada baki tujuh perlawanan lagi dan kita sedar persaingan semakin sengit. Sebab itu kita putuskan bawa masuk dua import baharu lagi bulan lalu untuk memantapkan lagi pasukan.

"Kita akan fikirkan perlawanan itu satu persatu. Sekarang, kita fokus kepada perlawanan menentang Negeri Sembilan. Pesan saya kepada pasukan ringkas sahaja iaitu menangi perlawanan itu.

"Bahagian pentadbiran dan pengurusan telah melaksanakan peranan dan kini terpulang kepada pasukan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.

Peter berkata, selepas mengharungi lebih dari separuh musim beliau percaya kesebelasan utama bukan lagi isu.

"Dalam tempoh sekarang, kecuali pemain baharu, semua pemain dalam senarai skuad Tambadau harus tiada masalah dipikulkan tugas sebagai kesebelasan utama.

"Pemilihan pemain utama kini lebih kepada kesesuaian strategi yang digunakan bagi menghadapi lawan. Saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating sudah ada rencana terbaik untuk memburu kemenangan ke atas Negeri Sembilan nanti," kata Peter.

Sebagai rekod, pertemuan antara Tambadau dan Negeri Sembilan di pusingan pertama berkesudahan seri tanpa jaringan.

Tambadau kini di kedudukan ketiga dengan 25 mata manakala Negeri Sembilan di tangga kelima dengan 19 mata.

Dua kedudukan teratas dihuni UiTM FC dan JDT II yang masing-masing telah mengumpul 26 mata. Sabah bagaimanapun kurang satu perlawanan berbanding dua pasukan teratas itu.

Kedudukan
P    M    S    K    J    B    MT
1. UiTM FC    14    8    2    4    27    15    26
2. JDT II    14    7    5    2    20    11    26
3. Sabah     13    7    4    2    21    12    25
4. TFC II    14    6    5    3    14    12    23
5. N Sembilan    13    5    4    4    15    15    19
6. Selangor Utd    13    5    3    5    15    16    18
7. P Pinang    14    4    4    6    16    18    16
8. PDRM    13    4    3    6    14    15    15
9. UKM FC    14    3    4    7    12    18    13
10. Sarawak    14    2    4    8    14    26    10
11. Kelantan    14    2    6    6    17    27    9

***Kelantan ditolak tiga mata atas keputusan FIFA.

Jadual perlawanan

Hari ini (14 Jun)
JDT II lwn TFC II
Kelantan lwn UiTM FC

Esok (15 Jun)
Sabah lwn N Sembilan
Selangor Utd lwn P Pinang
UKM FC lwn PDRM

  • oleh
  • Advertisement