Anda di sini

Sabah rancang masuki pasaran pelancongan China utara

 Christina (tengah) dan Aaron (tiga kanan) bersama wakil delegasi dan STB yang hadir pada kunjungan hormat itu.
KOMITED: Christina (tengah) dan Aaron (tiga kanan) bersama wakil delegasi dan STB yang hadir pada kunjungan hormat itu.

KOTA KINABALU: Rancangan untuk meletakkan Sabah dalam pasaran pelancongan China utara disasarkan dengan jumlah pelancong seramai 200,000 orang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, jumlah berkenaan disasarkan pada tahun pertama menerusi penerbangan sewa khas jangka panjang.

Menurutnya, inisiatif berkenaan hasil kerjasama antarabangsa antara syarikat Malaysia Cekal Aman Sdn Bhd dan rakan kongsi penerbangan sewa khas China BJ.ST International Travel Co Ltd.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, BJ.ST International Travel  kini pengendali utama di China yang terlibat dengan penerbangan sewa khas dari China ke Jeju, Korea Selatan dengan rekod  jumlah pelancong yang keluar seramai 1.6 juta pada 2016.

Menurutnya, syarikat berkenaan juga mengendalikan penerbangan sewa khas dari ke Nha Trang dan Da Nang Vietnam yang mencatatkan jumlah pelancong luar negara seramai 600,000 tahun lepas.

“Kita mesti mengambil kesempatan daripada senario ini agar Sabah menjadi destinasi percutian pilihan bagi pelancong China utara,” katanya semasa kunjungan hormat delegasi dari Cekal Aman Sdn Bhd di sini.

Christina turut meminta Lembaga Pelancongan Sabah (STB) memberi bantuan yang diperlukan kepada pihak berkenaan bagi memudahkan kemasukan pelancong China utara ke Sabah.

Sementara itu, Pengarah Operasi KK Suites Group bagi hotel dan Cekal Aman Sdn Bhd Aaron Chang berkata, China utara adalah pasaran baharu bagi penerbangan sewa khas di bawah BJ.ST International Travel.

Katanya, ia melibatkan penerbangan antarabangsa dari bandar seperti Shanghai, Tianjin, Zhengzhou, Nanjing, Chongqing, Xi’an, Wuhan, Shijiazhuang dan Shenyang ke Kota Kinabalu.

“Kesemua penerbangan ini sedia memulakan operasi dalam tempoh tiga bulan sebaik mendapat kelulusan penuh daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kami menyasarkan membawa kira-kira 200,000 pelancong dari China utara pada tahun pertama permulaan operasi penerbangan ini.

“Sasaran bagi tahun kedua ialah 350,000 hingga 400,000 pelancong China utara datang ke Sabah,” jelasnya sambil menambah, dari jumlah 200,000 itu, kira-kira 100,000 pelancong dibawa ke Tawau dan Semporna.

Pada masa ini katanya, Sabah memerlukan lebih banyak hotel bertaraf tiga hingga lima bintang untuk menampung kedatangan pelancong China utara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau menjalin kerjasama dengan Pengarah Perniagaan Antarabangsa BJ.ST International Travel Emerson Lo Vun Zet iaitu rakyat Malaysia yang berpusat di China.