Anda di sini

SABA harap tinju disenarai pada SukSar

Advertisement
 Rahman (enam kiri) menjamu kuih kepada pemilik Borneo Empurau Farm Sdn Bhd Dato Yong Fook Heng sambil disaksikan isteri Rahman, Datin Sadiah Morsidi (lima kiri) dan tetamu lain.
JAMU SELERA: Rahman (enam kiri) menjamu kuih kepada pemilik Borneo Empurau Farm Sdn Bhd Dato Yong Fook Heng sambil disaksikan isteri Rahman, Datin Sadiah Morsidi (lima kiri) dan tetamu lain.

KUCHING: Persatuan Tinju Sarawak (SABA) berharap Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dapat menyenaraikan acara tinju pada temasya Sukan Sarawak (SukSar) yang akan dianjurkan di Miri dari 9 hingga 13 Disember 2019.

Menurut Presiden SABA Datuk Rahman Lariwoo, penyertaan acara tinju pada SukSar kali ini sangat penting untuk membolehkan sukan itu dikembangkan ke seluruh negeri.

“Jika tinju tidak disertakan dalam SukSar, ia akan merencatkan program pembangunan sukan ini di kawasan utara negeri.

“Kita perlu mengembangkan tinju di sebelah utara kerana negara Brunei sudah mula aktif dalam sukan ini.

“Justeru, saya amat berharap PSS akan menyenaraikan tinju sebagai salah satu acara dipertandingkan pada SukSar kali ini,” kata Rahman ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di kediamannya di Matang Jaya di sini, malam kelmarin.

Rahman menambah, penyertaan acara tinju pada SukSar juga membolehkan SABA membuat persiapan rapi untuk menghadapi temasya SUKMA 2020 di Johor.

Tegasnya, dengan turut serta dalam SukSar pihaknya dapat mencari petinju yang benar-benar berkualiti dan berpotensi untuk membawa cabaran Sarawak pada temasya dwitahunan itu.

“Jika tinju dipertandingkan pada SukSar, ia akan membolehkan kita mencungkil petinju-petinju berpotensi kerana saya pasti ramai yang akan turut serta untuk mencuba nasib.

“Pada masa sama, kita dapat mencari petinju baharu yang dapat dijadikan pelapis untuk menggantikan mereka yang terlebih umur kelak,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Rahman berkata SABA akan menghantar sembilan petinju pelapis SUKMA pada Kejohanan Tinju Golden Glove yang akan diadakan di Besut, Terengganu dari 22 hingga 28 Julai depan.

Katanya, kejohanan itu akan menjadi kayu pengukur kemampuan petinju Sarawak untuk menghadapi SUKMA Johor kelak.

  • oleh
  • Advertisement