Anda di sini

Rakyat puas hati harga barangan keperluan masih terkawal

Advertisement

KOTA BHARU: Walaupun sudah lapan hari umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun trend harga barangan keperluan di negeri ini dilihat masih terkawal sehingga semalam.

Tinjauan Bernama semalam mendapati rata-rata orang ramai di negeri ini masih berpuas hati dengan harga barangan keperluan yang masih terkawal dan berpatutan.

Suri rumah, Ainy Md Yunos, 67, mengaku puas hati dapat membeli barangan keperluan pada harga berpatutan dan terkawal pada musim perayaan ini.

Beliau menghargai inisiatif kerajaan melaksanakan skim kawalan harga barangan keperluan ketika musim perayaan yang sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan rakyat.

“Saya berpuas hati dengan penguatkuasaan skim ini yang membuatkan pembekal atau peniaga tidak berani untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan terkawal sesuka hati mereka,” katanya di sini semalam.

Pengguna, Sepiah Ismail, 60, dari Kampung Landak turut berpuas hati apabila dapat membeli barangan mentah seperti ayam mentah pada harga di bawah RM6 sekilo.

“Selalunya barang mentah seperti ayam, ikan dan barangan lain dijual pada harga yang tinggi terutama ketika musim perayaan. Jadi, saya gembira musim perayaan kali ini saya dapat membeli barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan masih terkawal,” katanya.

Menurut laporan media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa bagi 27 barangan keperluan menjelang perayaan yang mula berkuat kuasa pada 21 Mei lepas dan berakhir pada 19 Jun ini.

SHMMP diperkenalkan bagi mengelakkan para peniaga mengambil kesempatan ke atas pengguna untuk mengaut untung berlebihan dengan menaikkan harga barangan keperluan. Antara barangan yang disenaraikan ialah ayam hidup, daging lembu tempatan, cili kering, tomato, telur ayam, bawang merah kecil, ubi kentang import dan ikan kembung.

Di MELAKA, sesetengah pengguna mempunyai pandangan berbeza dan ada yang mengeluh harga barang yang semakin meningkat selepas Hari Raya lepas.

“Harga barang mula naik sejak akhir Ramadan, namun keadaan masih terkawal apabila pihak berkuasa mengadakan kawalan harga, namun selepas sambutan Aidilfitri, harga beberapa bahan mentah seperti ikan, cili merah, sayur-sayuran mula naik,” keluh suri rumah, Siti Masturah Abdul Wahab, 42, kepada Bernama semalam.

Ibu empat anak dari Bukit Katil itu berharap pihak berkuasa akan terus memperketatkan pemantauan harga bagi memastikan harga barang tidak melambung naik dan membebankan pengguna.

“Saya sendiri rasa terkesan dengan kenaikan harga beberapa barang ini dan harap pihak berkuasa segera mengambil tindakan segera kerana kebanyakan pengguna telah banyak menghabiskan duit untuk persiapan Hari Raya,” katanya.

Peniaga kedai runcit, Ibrahim Awaluddin, 73, berkata harga barang basah yang tinggi di Pasar Borong Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Batu Berendam menyebabkan beliau hanya mengambil sedikit bekalan ikan dan sayur-sayuran.

 “Saya hanya beli sekilo cili merah dengan harga RM23 sebab harga terlampau tinggi, macam mana saya nak jual pada orang kampung nanti... takkan saya nak jual dengan harga RM1 sebiji untuk orang kampung nanti,” katanya yang membuka kedai runcit di Kampung Tun Razak di sini.

Ibrahim yang juga pesara tentera itu berharap pihak berkuasa segera membuat penguatkuasaan di pasar borong bagi membolehkan peniaga kecil dan peruncit mernjual pada harga berpatutan kepada pengguna.

Peniaga restoran, Manan Jidin, 51, yang membuka restoran di Taman Ayer Keroh Permai berkata harga barangan mentah sekarang tidak menentu, terdapat sesetengah harga barang naik dan ada juga yang turun, bergantung kepada keadaan semasa.

“Peningkatan harga yang paling ketara adalah bagi sayur-sayuran terutama cili merah yang boleh mencecah sehingga RM26 sekilo, namun harga ayam masih berada dalam tahap terkawal,” katanya.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini bahan mentah yang diimport seperti daging lembu dari New Zealand mengalami peningkatan akibat daripada kejatuhan nilai ringgit.

Katanya disebabkan oleh faktor tersebut beliau terpaksa mengurangkan beberapa menu seperti ‘t-bone steak’ di restorannya kerana tidak ingin membebankan pelanggan.

Beliau berharap pihak berkuasa membuat pemantauan terhadap bahan mentah agar tidak membenbankan semua pihak. — Bernama

Advertisement