Anda di sini

Puluhan ribu penunjuk perasaan lumpuhkan Hong Kong

Advertisement
 Puluhan ribu penunjuk perasaan menyekat jalan utama berhampiran                dengan Dewan Perundangan dan ibu pejabat kerajaan di Hong Kong semalam. — Gambar AFP
TUNJUK KEKUATAN: Puluhan ribu penunjuk perasaan menyekat jalan utama berhampiran dengan Dewan Perundangan dan ibu pejabat kerajaan di Hong Kong semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Puluhan ribu penunjuk perasaan melumpuhkan pusat Hong Kong semalam, menyekat jalan utama untuk menunjukkan kekuatan menentang rancangan kerajaan untuk membenarkan ekstradisi ke China.

Penunjuk perasaan berpakaian serba hitam, kebanyakannya pelajar dan orang muda, mengelilingi pejabat kerajaan, yang melumpuhkan lalulintas apabila mereka menyeru kepada pihak berkuasa untuk membatalkan rancangan yang disokong oleh Beijing itu.

Barisan anggota polis rusuhan jauh diatasi penunjuk perasaan dari segi jumlah mereka, kebanyakan mereka memakai penutup muka, topi keledar atau gogel, hanya beberapa jam sahaja sebelum perbahasan dijadualkan dalam dewan perundangan bandar raya.

Menjelang lewat pagi, dengan peserta yang terus meningkat, pegawai dalam Majlis Perundangan (Legco) berkata mereka akan menangguhkan bacaan kedua bagi rang undang-undang berkenaan “ke tarikh kemudian”.

Dalam senario yang mirip dengan pergerakan ‘Occupy’ pada 2014 yang melumpuhkan beberapa kawa-san di bandar raya itu selama berbulan-bulan, orang ramai memenuhi persimpangan dan jalan utama di tengah bandar raya, mengheret perintang ke lebuh raya dan mengikatnya. Ada yang mencabut batu bata longgar daripada laluan jalan kaki.

Polis menggunakan meriam air dan penyembur lada ke atas penunjuk perasaan di luar bangunan Legco sambil membawa poster untuk memberi amaran kepada penunjuk perasaan bahawa mereka bersedia untuk menggunakan kekerasan.

Penganjur perarakan gergasi pada Ahad lepas berkata lebih sejuta orang menyertai demonstrasi untuk me-nyuarakan bantahan mereka kepada rang undang-undang yang diusulkan, kerana ia akan membolehkan Hong Kong untuk menghantar suspek ke bidang kuasa lain di seluruh dunia, termasuk China.

Namun penyertaan yang memecah rekod itu tidak dapat mempengaruhi ketua eksekutif yang pro-Beijing, Carrie Lam, yang telah menolak seruan untuk menarik balik rang undang-undang tersebut.

Ramai penentang bimbang undang-undang itu akan menjerat orang dalam mahkamah yang samar-samar di tanah besar, dan mendedahkan mereka kepada sistem keadilan yang dilihat sebagai bertindak atas arahan Parti Komunis China.

Lebih 100 perniagaan di Hong Kong berkata mereka akan tutup semalam sebagai tanda solidariti dengan penunjuk perasaan, dan kesatuan pelajar utama di bandar raya itu mengumumkan mereka akan memulaukan kelas untuk menyertai rapat umum.

Beberapa kesatuan terkemuka lain dalam sektor pengangkutan, kerja sosial dan pendidikan turut berbuat demikian atau menggalakkan ahli untuk mengambil bahagian manakala sebuah kesatuan pemandu bas berkata ia akan menggalakkan ahli untuk dengan sengaja memandu perlahan-lahan bagi menyokong protes.

“Kerajaan telah memaksa rakyat untuk meningkatkan lagi tindakan mereka, jadi saya rasa ia tidak dapat dielakkan bagi perjuangan pada kali ini untuk menjadi semakin hangat,” kata penunjuk perasaan Lau Ka-chun, 21.

Pada kelmarin malam, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berjaga-jaga di luar pejabat kerajaan, ada yang menyanyikan lagu rohani.

Penunjuk perasaan tegar pada Ahad lepas membuat rancangan yang sama pada waktu malam tetapi dihalang oleh polis, yang bertelingkah dengan kumpulan kecil penunjuk perasaan.

Sepanjang kelmarin malam, polis memenuhi kawasan sekitar pejabat kerajaan, dan menghentikan sambil memeriksa ramai orang muda ketika mereka tiba di kawasan tersebut.

Penggubal undang-undang membahaskan rang undang-undang berkenaan pada pagi semalam dalam dewan perundangan bandar raya, yang didominasi ahli yang setia kepada Beijing. Undian muktamad dijangkakan pada 20 Jun.

“Satu-satunya perkara yang bertanggungjawab untuk dibuat sekarang adalah bagi Carrie Lam untuk menarik balik rang undang-undang yang jahat itu, atau sekurang-kurangnya menangguhkannya bagi menyelesaikan krisis,” kata penggubal undang-undang prodemokrasi Fernando Cheung.

“Oleh kerana situasi sangat tegang, jika dia memaksa ia diluluskan dan meminta polis menggunakan keganasan, saya takut kanak-kanak di Hong Kong akan cedera, akan berdarah.”

Pemimpin Hong Kong berkata ia diperlukan untuk menutup jalan keluar dalam undang-undang selain memastikan bandar raya itu tidak menjadi tempat perlindungan bagi orang pelari-an, dan perlindungan wujud bagi memastikan pengkritik politik Beijing tidak akan disasari.

Namun ramai warga Hong Kong tidak percaya kepada jaminan kerajaan selepas kebimbangan yang semakin meningkat sejak beberapa tahun yang lalu bahawa Beijing sedang berusaha untuk memusnah           kan kebudayaan dan kebebasan yang unik di Hong Kong.

Pastor sebuah gereja mega yang biasanya prokerajaan mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan beliau tidak dapat menyokong rang undang-undang itu manakala diosis Katolik menggesa Lam, seorang Katolik yang taat, menangguhkan rang undang-undang ber-kenaan. — AFP

Advertisement