Anda di sini

Pulau Pinang tegas banteras operasi proses sisa plastik haram

Advertisement
 Phee menjawab pertanyaan daripada para pengamal media arus perdana berkaitan isu sampah plastik di negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), George Town, semalam. — Gambar Bernama
ISU SAMPAH: Phee menjawab pertanyaan daripada para pengamal media arus perdana berkaitan isu sampah plastik di negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang memproses sisa plastik yang beroperasi secara haram di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh semalam.

Katanya kerajaan negeri sedang menyemak semula semua lesen yang dikeluarkan kepada kilang-kilang sisa plastik yang beroperasi di negeri ini berikutan keputusan kerajaan persekutuan memperuntukkan 18 syarat baharu yang perlu dipatuhi pengurus kilang memproses sisa plastik sebelum pemberian lesen import (AP).

“Mereka mungkin mempunyai lesen beroperasi tetapi mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat seperti ada sistem rawatan air, sistem akhir hayat, pelan bangunan dan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya di sini bagi menafikan satu laporan akhbar yang mendakwa bahawa sisa sampah di tapak pelupusan yang ditemui di Gurun, Kedah berkemungkinan dibawa dari Pulau Pinang.

Phee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu berkata kerajaan negeri juga telah mengetatkan penguatkuasaan terhadap kilang-kilang memproses sisa plastik bagi menghalang penyeludupan sisa plastik tercemar ke dalam negara.

“Kami beritahu mereka cukup, cukuplah, jika anda mahu beroperasi di Pulau Pinang, sila patuhi peraturan di Pulau Pinang… peraturannya sangat ketat sehingga ada yang tidak mampu meneruskan operasi dan mereka tutup kedai. Kami tidak memaksa mereka menutup kedai, mereka terpaksa menghentikan operasi kerana gagal mematuhi peraturan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyiasat sejumlah 265 kontena berisi sisa sampah plastik yang ditemui tersadai di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sejak awal tahun ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sekarang berusaha untuk menghantar balik kontena-kontena itu ke negara asal dan kerajaan amat terbuka kepada perbincangan dari wakil-wakil negara yang dilaporkan sebagai pemilik kontena-kontena itu.

“Saya telah berbincang dengan seorang wakil negara pemilik kontena itu dan mereka telah mengaku bahawa perkara perlu diselesaikan secara baik agar tidak mencemari alam sekitar,” katanya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang mendedahkan pada 30 Mei lepas terdapat 265 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik telah dibawa masuk ke negeri itu dan kini tersadai di NBCT sejak Januari lalu.

Pada 27 Mei lepas, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, sebanyak 450 tan metrik sisa sampah dari 10 kontena akan dihantar semula dalam masa terdekat ke negara asal masing-masing.

Menurut Yeo berkata, kabinet pada 24 April lalu juga telah memberi mandat kepada kementeriannya untuk menubuhkan pasukan khas yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi membolehkan siasatan terhadap kegiatan penyeludupan sisa plastik ke Malaysia. — Bernama

Advertisement