Anda di sini

Pihak bertelagah di Sudan bersetuju sambung rundingan selepas bantahan tamat: Pengantara

Advertisement

KHARTOUM: Ketua protes bersetuju untuk menamatkan kempen bantahan awam yang dilancarkan selepas tindakan berdarah ke atas penunjuk perasaan, dan menyambung semula rundingan dengan golongan jeneral yang memerintah Sudan, kata seorang pengantara dari Habsyah kelmarin.

Kemajuan itu, yang belum lagi disahkan oleh pemerintah tentera, dicapai ketika seorang diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk memulakan misi bagi menekan golongan jeneral untuk menghentikan tindakan ke atas penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan awam.

Sudan diketuai sebuah majlis tentera sejak ia menggulingkan presiden autokratik Omar al-Bashir pada 11 April lalu selepas protes di seluruh negara selama berbulan-bulan menentang pemerintahan kuku besinya selama tiga dekad.

Ekoran penyingkiran Bashir, penunjuk perasaan berkampung di luar ibu pejabat tentera di Khartoum selama berminggu-minggu untuk menuntut pemerintahan awam, sebelum pasukan keselamatan dan separa tentera meleraikan mereka dalam operasi pada 3 Jun lalu yang mengorbankan puluhan orang.

Pergerakan protes itu me-lancarkan kempen bantahan awam pada Ahad lalu, dan kebanyakan premis perniagaan terus ditutup dan penduduk tinggal di dalam rumah selama tiga hari selepas itu.

Ia mengugut untuk me-ningkatkan lagi tekanan ke atas golongan jeneral dengan mengeluarkan senarai ahli bagi sebuah badan pemerintah baharu – perkara pertikaian uta-ma antara kedua-dua pihak.

Namun mereka bersetuju untuk menamatkan kempen dan kembali ke meja run-dingan, kata seorang utusan Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed.

“Pakatan bagi Kebebasan dan Perubahan bersetuju untuk menamatkan (kempen) bantahan awam bermula hari ini,” kata Mahmoud Drir, yang telah menjadi pengantara antara kedua-dua pihak sejak Ahmed melawat Khartoum pada minggu lepas.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menyambung rundingan tidak lama lagi,” katanya.

Pergerakan protes sendiri menyebut dalam satu ke-nyataan bahawa ia menyeru kepada rakyat “untuk bekerja semula bermula Rabu”.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyeru kepada semua pihak “untuk terus bekerjasama ke arah penyelesaian konsensus kepada krisis semasa” dan menyuarakan sokongan kepada usaha diplomatik pimpinan Afrika.

Majlis juga menuntut se-rangan ke atas orang awam dihentikan serta-merta dan menekankan kepentingan menegakkan hak asasi ma-nusia, seminggu selepas Rusia dan China menyekat draf kenyataan yang sama mengenai krisis itu.

Di Khartoum, protes menyaksikan kebanyakan kedai dan premis perniagaan ditutup dengan beberapa syarikat yang melanjutkan cuti Aidilfitri hingga hujung minggu ini.

Pasukan Sokongan Pantas (RSF), sebuah pasukan separa tentera yang dituduh memainkan peranan utama dalam operasi pada minggu lepas, meronda di daerah dengan menaiki trak pikap mereka yang dipasang de-ngan mesingan berat.

“Kami sekarang semakin biasa hidup dengan senjata kerana kami melihat begitu ramai lelaki ini yang memasuki restoran dengan senjata mereka,” kata seorang penduduk ketika sekumpulan anggota RSF memasuki sebuah tempat makan.

Dalam daerah utara Bahari, pusat pergolakan di mana penunjuk perasaan telah mendirikan sekatan jalan sejak beberapa minggu lepas, kebanyakan kedai ditutup kelmarin tetapi tidak ada perintang kelihatan, lapor seorang wartawan AFP.

Penunjuk perasaan mengisytiharkan bahawa demonstrasi mereka di seluruh negara telah berjaya.

“Ini menunjukkan dengan jelas apa yang kita dapat buat, dan juga dengan cara yang aman,” kata Ishraga Mohamed.

Ketua protes berikrar untuk menamakan sebuah badan pemerintah baharu bagi menggantikan golongan jeneral.

Timbalan Setiausaha Negara AS bagi hal ehwal Afrika, Tibor Nagy, merancang untuk berjumpa dengan golongan jeneral dan ketua protes di Khartoum, kata Jabatan Negara.

Beliau melakukan lawatan itu semalam dan turut melawat Addis Ababa untuk membincangkan krisis di Sudan bersama pemimpin Habsyah dan Kesatuan Afrika.

“Beliau akan mengumumkan penamatan serangan ke atas orang awam dan menggesa semua pihak untuk bekerja ke arah mewujudkan persekitaran yang mem-bolehkan” rundingan untuk disambung semula, kata Jabatan Negara.

AS telah mengetuai seruan bagi peralihan pimpinan awam walaupun sekutu Arab dari Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu me-nyokong golongan jeneral.

Sementara itu sebuah jawatankuasa doktor yang dikaitkan dengan protes menuduh militia Janjaweed menembak mati sembilan orang pada Isnin di wilayah Darfur, barat Sudan.

Janjaweed, sebuah militia yang dituduh melakukan kesalahan yang berleluasa oleh kumpulan hak asasi manusia di kemuncak konflik di Darfur yang bermula pada 2003, sudah diserapkan ke dalam RSF. — AFP

Advertisement