Anda di sini

Pesta Filem Hungary 2.0 kembali lagi

Advertisement
 (Dari kiri) Naseem Randhawa (Cinema Online, rakan kongsi rasmi Pesta Filem Hungary 2.0), Attila Kali (Duta dari Hungary ke Malaysia), Mugen Rao (tetamu istimewa, Pesta Filem Hungary 2.0), Tan Gaik Lian (Pengurus – Festival Filem, GSC).
KEMBALI LAGI: (Dari kiri) Naseem Randhawa (Cinema Online, rakan kongsi rasmi Pesta Filem Hungary 2.0), Attila Kali (Duta dari Hungary ke Malaysia), Mugen Rao (tetamu istimewa, Pesta Filem Hungary 2.0), Tan Gaik Lian (Pengurus – Festival Filem, GSC).

SUSULAN kejayaan penganjuran pada tahun lepas, Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur dengan kerjasama Golden Screen Cinemas dan Cinema Online dengan bangganya mempersembahkan Pesta Filem Hungary 2.0 kepada penggemar filem di Malaysia.

Edisi 2019 ini ialah salah satu daripada tumpuan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Hungary dan Malaysia.

Berbanding hanya di Kuala Lumpur sebelum ini, kali ini pesta tersebut akan menemui peminat filem di Pulau Pinang dan Sarawak.

Sebanyak empat buah filem yang memenangi anugerah telah dipilih dengan 16 tayangan percuma disusun untuk peminat pesta filem menikmati dan mempelajari filem, budaya dan negara Hungary dengan lebih lanjut.

Dengan memperkenalkan khazanah tradisi sinematiknya, Pesta Filem Hungary 2.0 diharap mampu mempromosikan negara dan budaya Hungary kepada rakyat Malaysia.

Melaluinya, hubungan antara kedua-dua negara dapat dikukuh dan dieratkan.

Oleh itu, GSC telah mengatur masa tayangan percuma filem-filem Hungary di GSC Pavilion KL (21-23 Jun), GSC Gurney Plaza (29 dan 30 Jun) dan GSC CityOne Megamall, Kuching (6 dan 7 Julai).

Peminat yang ingin mendapatkan tiket filem Hungary secara percuma hanya perlu ke pawagam GSC yang menyertai dengan menunjukkan sama ada salinan cetakan mana-mana artikel atau syot pantas artikel atau logo di media sosial, mengenai Pesta Filem Hungary 2.0 ini.

Setiap bahan yang ditunjukkan akan melayakkan mereka untuk menebus dua tiket percuma untuk filem yang sama sehingga empat tiket setiap orang berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat.

Tiket percuma ini boleh ditebus mulai Isnin, 17 Jun 2019 di GSC Pavilion KL, GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang dan GSC CityOne Megamall, Kuching pada jam 11 pagi dan seterusnya.

Untuk makluman, majlis pelancaran rasmi Pesta Filem Hungary 2.0 akan berlangsung pada 20 Jun 2019 (Khamis) di GSC Pavilion Kuala Lumpur yang akan dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai tetamu kehormat.

Turut dijangka hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Hungary, Dr. Balázs Orbán, yang akan melakukan lawatan rasmi kali pertama ke Malaysia.

Di samping itu, Kedutaan Hungary juga akan menganjurkan pelancaran wilayah di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang pada 17 Jun dan GSC CityOne Megamall, Kuching pada 4 Julai sebagai salah satu usaha bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menonton filem-filem Hungary.

Di GSC Pavilion, sebanyak empat filem yang merangkumi tiga filem fiksyen dan satu filem muzikal akan ditayangkan sempena Pesta Filem Hungary 2.0.

Empat filem itu adalah ‘Liza, the Fox-Fairy’ yang telah memenangi tujuh anugerah termasuk anugerah filem terbaik César Awards 2019, filem ‘The Troupe’, filem ‘Think of Me’ dan filem muzikal romantik ‘Pappa Pia’.

Advertisement