Anda di sini

Pertukaran budaya perkukuh hubungan China-Sarawak

Advertisement
 Lee (empat kanan) bersama tetamu kehormat yang lain ketika merasmikan majlis tersebut.
RASMI: Lee (empat kanan) bersama tetamu kehormat yang lain ketika merasmikan majlis tersebut.

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap program pertukaran kebudayaan dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara negara China dan Sarawak.

Kerajaan negeri katanya, sentiasa mengalu-alukan penganjuran persembahan kebudayaan dari negara luar kerana ia merupakan jalan terbaik untuk mengenali serta memahami akan budaya dan tradisi dari seluruh dunia.

“Diharap dengan per-sembahan kebudayaan seperti ini, turut menggalakkan lebih banyak pertukaran kebudayaan antara Sarawak dan China,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal Gabungan Persatuan Cina Sibu (UCA) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Hadir sama ialah ADUN Dudong Datuk Tiong Thai King, Ahali Parlimen Sibu Oscar Ling, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Presiden UCA Ngieng Ping Sing serta yang lain.

Majlis makan malam itu dimeriahkan dengan persembahan oleh Kumpulan Kebudayaan Opera Minqing dari China yang dianggotai 130 ahli.

Di Sarawak menurut Abang Johari, terdapat kira-kira 500 persatuan Cina yang berdaftar, di mana ramai ahli jawatankuasa persatuan ini terutama persatuan klan mempunyai saudara mara atau rakan-rakan di China.

“Justeru itu, hubungan baik ini akan mewujudkan jaringan bagi mereka untuk mempromosikan Sarawak kepada rakyat di negara China.

“Diharap persatuan-persatuan Cina tempatan akan menggunakan hubungan ini untuk memperkenalkan Sarawak kepada rakan-rakan di China, terutama dari segi pelancongan dan menjemput mereka untuk datang ke Sarawak,” jelasnya.

Abang Johari berkata, terdapat peningkatan jumlah warganegara China yang menyambut Tahun Baharu Cina di luar negara termasuk di Malaysia.

Dalam perkara itu katanya, ahli-ahli persatuan Cina di sini mungkin boleh menjemput saudara mara atau rakan-rakan dari China untuk meluangkan masa cuti Tahun Baharu Cina di Sarawak.

“Pada masa sama, mereka juga boleh datang dan melawat Sarawak untuk perayaan-perayaan lain seperti Chap Goh Mei, Kuih Bulan, Hari Gawai dan Hari Raya, di samping pelbagai pesta yang dianjurkan,” ujar beliau.

  • oleh
  • Advertisement