Anda di sini

Pengendali takaful digesa capai kumpulan B40

KUALA LUMPUR: Pengendali takaful di negara ini digesa menawarkan produk yang lebih inovatif dan lebih baik untuk golongan berpendapatan rendah atau B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Bhd Mukesh Dhawan berkata pendekatan menyeluruh oleh penggiat industri untuk memenuhi segmen B40, dapat menyokong objektif Bank Negara Malaysia untuk penembusan takaful keluarga 25 peratus di bawah Pelan Sektor Kewangannya 2011-2020.

“Apabila negara berkembang, anda akan bimbang terhadap bahagian bawah piramid. Oleh itu, adalah sangat logik untuk Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan negara untuk memikirkan kumpulan B40,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditanya mengenai pendekatan syarikat takaful untuk meningkatkan kadar penembusan dalam kalangan kumpulan B40 untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Awal tahun ini, kerajaan melancarkan Skim Perlindungan Kebangsaan mySalam B40, yang menyediakan perlindungan takaful untuk kumpulan itu.

Skim ini membantu mereka menangani kesulitan kewangan yang timbul apabila dimasukkan ke hospital kerajaan atau apabila mereka didiagnosis dengan salah satu daripada 36 penyakit kritikal.

Bagi pihaknya, Mukesh berkata Zurich Takaful telah membuka saluran yang bermakna untuk menjangkau kumpulan berkenaan dengan penawaran pelan berasaskan keperluan perlindungan mereka.

“Keperluan dan kesedaran mereka sudah meningkat. Oleh itu, kami baru-baru ini menjalin usaha sama dengan rangkaian runcit popular, MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin), memandangkan kebanyakan segmen B40 membeli-belah di Mydin,” katanya.

Menerusi perkongsian 10 tahun dengan Mydin, Zurich Takaful akan hadir di kedai runcit Mydin terpilih yang terletak di kawasan separa bandar, bandar dan bandar kecil, yang membuka ruang kepada pelanggan untuk menyertai pelan takaful yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Jika anda bertanya (pelanggan), mengapa mereka tidak membeli perlindungan takaful,  jawapan yang lazim didengari ialah ‘Sangat sukar difahami’ atau ‘Saya tidak tahu sumbangannya kepada saya’ atau ‘Jika saya membelanjakan wang untuk takaful, apakah manfaatnya,” katanya.

Mukesh bagaimanapun berkata pakar takafulnya dapat memberi nasihat kepada pelanggan Mydin mengenai produk yang betul dengan cara yang mudah untuk menggalakkan mereka mendapatkan perlindungan takaful.

Mengenai keperluan untuk memulakan perlindungan kesihatan mental, Mukesh berkata penggiat takaful memerlukan masa untuk meneroka definisi kesihatan mental yang betul.

“Definisi penyakit mental tidak didokumentasikan sementara ‘kecacatan’ mempunyai definisi yang luas. Amputasi juga merupakan kecacatan, oleh itu kita mahu lebih jelas mengenainya daripada semua pihak berkepentingan yang tepat di negara ini mengenai penetapan penyakit mental,” katanya.

Mei lepas, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah serius untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu kesihatan mental.

Lee, yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, mencadangkan perlindungan insurans disediakan untuk penjagaan kesihatan mental dan rawatannya. — Bernama