Anda di sini

Penganggur mengamuk tidak diberi wang dipenjara tujuh bulan

KUCHING: Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya sendiri pada awal Januari lepas.

Rahmat Sajana Husain, 27, mengamuk setelah ibunya enggan memberikannya wang, lalu mengugut hendak membunuh ibunya serta membakar almari rumah.

Kejadian yang berlaku pada 10 Januari lepas, jam 4.30 petang itu disaksikan oleh adik tertuduh sendiri semasa mereka berada di rumah mereka di Kampung Pulo Hilir, Petra Jaya.

Ibunya, 54, berasa takut dengan ancaman tersebut dan bertindak membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan Rahmat pada 10 Januari lepas.

Rahmat memohon kepada mahkamah agar dikurangkan hukuman kerana dia mengaku bersalah atas perbuatannya, di samping berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Namun, menurut Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi, pengakuan bersalah tidak semestinya membawa kepada pengurangan hukuman.

Justeru, setelah meneliti fakta kes dan membuat pertimbangan terhadap trauma dihadapi ibunya, Majistret Nuruhuda Mohd Yusof menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bermula dari tarikh tangkapannya.

Rahmat, tidak diwakili peguam, didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.