Anda di sini

Penempatan sementara Orang Asli kotor

Advertisement
 Keadaan semasa di penempatan sementara suku kaum Batek yang terletak kira-kira tiga KM daripada kampung asal ketika tinjauan Bernama mendapati mereka membina tapak khemah di lokasi yang lebih jauh ke dalam hutan dari penempatan asal di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, kelmarin. — Gambar Bernama
TAPAK KHEMAH: Keadaan semasa di penempatan sementara suku kaum Batek yang terletak kira-kira tiga KM daripada kampung asal ketika tinjauan Bernama mendapati mereka membina tapak khemah di lokasi yang lebih jauh ke dalam hutan dari penempatan asal di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang, kelmarin. — Gambar Bernama

GUA MUSANG: Kehidupan mereka sejak asal adalah berpindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain dan Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh di sini, masih mengamalkan cara hidup primitif itu walaupun terdapat bantuan infrastruktur untuk mereka mengamalkan cara hidup moden.

Keadaan itu menyebabkan mereka telah terbiasa berpindah-randah termasuk jauh ke dalam hutan di kawasan penempatan mereka.

Kini, mereka terpaksa berpindah lagi dan kali ini bukan disebabkan budaya hidup tetapi kerana kampung mereka dilanda wabak penyakit yang sehingga kini dikatakan menyebabkan 14 kematian, sekali gus menjadikan kampung dan kehidupan mereka menjadi tumpuan pihak-pihak berkuasa dan media.

Tinjauan Bernama di kawasan penempatan sementara yang kini menjadi tempat tinggal kepada hampir 100 penduduk suku Batek di situ mendapati ada 20 khemah yang berlantaikan buluh dan daun kering serta beratapkan kanvas, rotan, buluh dan daun kelapa.

Kawasan penempatan yang terletak di pinggir hutan, kira-kira tiga kilometer dari perkampungan asal mereka itu jelas kotor dan berbau busuk, kawasan tempat tidur turut dijadikan tempat menyediakan makanan, malah dipenuhi sisa sampah yang menyebabkan berbau busuk dan dihurung lalat.

Mereka turut dilihat membina sistem paip jenis PVC untuk menyalurkan sumber air dari anak sungai berhampiran.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Imah,  27, berkata budaya dan kepercayaan masyarakat Orang Asli mendorong mereka untuk terus mengamalkan hidup primatif dan berpindah-randah, selain mendakwa bantuan infrastuktur yang tidak sempurna turut menjadi faktor mereka berpindah.

“Kami tak tinggal tetap, kami pindah-pindah. Kami tetap bergantung dengan air sungai dan takungan bukit. Mereka (agensi berkaitan) ada bina rumah tapi tiada api (elektrik) malah tangki air dan pam banyak yang rosak,” katanya.

Imah berkata rata-rata masyarakat di situ sudah biasa dengan kehidupan mereka yang primitif dan kurang mengamalkan kualiti kebersihan dan kebanyakan penduduk sudah biasa menjadikan ruang yang sama untuk tidur dan memasak.

“Masak bawah rumah, tepi khemah pun boleh... tak kisah pun, orang (kami) dah biasa,” jelasnya sambil memberitahu bahawa rata-rata kaum ibu di situ turut menggunakan semula lampin bayi pakai buang yang diperoleh daripada bantuan pertubuhan bukan kerajaan yang melawat penempatan mereka.

Wartawan Bernama turut dibawa oleh seorang penduduk ke kawasan yang lebih dalam berdekatan penempatan sementara itu dan lokasi itu dibersihkan penduduk untuk meluaskan lagi kawasan penempatan sementara mereka.

Beberapa struktur asas seperti meja dan tapak khemah juga kelihatan sudah dibina di kawasan baharu itu.

Sementara itu, seorang guru agama yang mengajar penduduk beragama Islam di kawasan itu Mohd Fadzli Mamok berkata masih terdapat Orang Asli yang dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan kerana disyaki dijangkiti wabak itu.

“Tadi (semalam) beberapa orang sakit dibawa keluar (ke klinik dan hospital). Mereka kena demam panas sama seperti mereka yang meninggal dunia sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ladang Aring 10, di sini.

Laluan masuk ke kampung itu di Ladang Aring 10 kini ditutup kepada orang awam dan petugas media, dan sejak pagi semalam kelihatan pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Unit Forensik, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia memasuki perkampungan itu.  — Bernama

Advertisement