Anda di sini

Kes demam denggi di Sarawak catat peningkatan ketara

DR JAMILAH
DR JAMILAH

KUCHING: Kes demam denggi di Sarawak merekodkan peningkatan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Ne-geri Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, setakat Januari 2019 hingga 10 Jun 2019, sebanyak 762 kes demam denggi direkodkan  berbanding 219 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, Bahagian Kuching mencatatkan kes tertinggi iaitu 264 kes, diikuti Miri (98), Betong (95), Sibu (73), Serian (46), Kapit (44), Samarahan (40), Sarikei (38), Bintulu (24), Limbang (18), Sri Aman (16) dan Mukah (enam).

Mengenai status tular wabak denggi di Kampung Ajibah Abol, Kuching, Dr Jamilah mengesahkan ia berlaku bermula pada 13 Mei lalu.

Menurutnya sehingga 1 Jun, terdapat 37 kes deman denggi telah dilaporkan berlaku di Kampung Ajibah Abol.

“Walaupun cuaca panas dan hujan memainkan peranan dalam peningkatan kes ini, didapati kawasan yang tidak dipedulikan oleh orang awam seperti tanah terbiar atau lot kosong, tempat pembuangan sampah serta rumah tidak berpenghuni turut menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.  

“Justeru, JKN Sarawak ingin mengingatkan masyarakat, usaha menangani penyakit demam denggi ini merupakan tanggungjawab bersama.

“Ia memerlukan penglibatan serta kerjasama pelbagai agensi terutama masyarakat sendiri,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.

Beliau menambah, individu atau pemilik premis perlu memastikan kawasan persekitaran di dalam dan luar rumah mereka sentiasa bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.  

Oleh demikian katanya bagi mencegah penyakit demam denggi, masyarakat dinasihati mengambil beberapa langkah antaranya, memberi kerjasama sepenuhnya semasa aktiviti penyemburan kabus dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu katanya, masyarakat perlu memusnahkan tempat-tempat yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes setiap minggu.

“Sekiranya mengalami demam, segeralah pergi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran. Sebarang kelewatan bertindak boleh membawa maut,” katanya.

Dr Jamilah juga menasihati orang ramai sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi mengikut panduan disyorkan KKM dengan melayari laman sesawang di www.myhealth.gov.my atau www.infosihat.gov.my.