Anda di sini

Kejohanan badminton Piala Datuk Bandar MBKS tahun ini dijangka lebih mencabar

Advertisement
  Azizi (dua kiri) dan Thomas (tengah) menunjukkan borang permohonan sambil disaksikan (dari kanan) Kho, Prestycia dan Aminuddin.
PASTI HEBAT: Azizi (dua kiri) dan Thomas (tengah) menunjukkan borang permohonan sambil disaksikan (dari kanan) Kho, Prestycia dan Aminuddin.

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjangkakan Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Datuk Bandar MBKS pada tahun ini bertambah menarik dan mencabar.

Ini kerana banyak pasukan dijangka mengambil bahagian terutama dalam kategori Beregu Veteran Lelaki.

“Kita tidak sabar untuk menyaksikan ramai bekas bintang dari Kuching yang berusia 45 tahun ke atas menyertai kategori ini yang paling popular pada tahun lepas.

“Sasaran kita sejumlah 30 pasukan bertanding dalam kategori berpasukan membabitkan Beregu Lelaki Bawah 19 Tahun, Beregu Campuran, Beregu Veteran Lelaki dan Beregu Lelaki Terbuka,” kata Pengerusi Penganjur, Kaunselor Azizi Morni pada sidang media di Bangunan MBKS semalam.

Menemani beliau pada sidang media tersebut Timbalan Pengerusi Kejohanan Kaunselor Thomas Bang, Koordinator Kho Thiam Hee dan Ahli Jawatankuasa Penganjur Aminuddin Buang dan Prestycia Bawi.

Menurut Azizi, kejohanan diadakan sempena sambutan Festival Kuching itu akan berlangsung dari 19 hingga 25 Ogos bertempat di Perkampungan Sukan MBKS, Taman Rekreasi Pending, Jalan Utama.

Katanya, penganjur telah menetapkan untuk menyertakan kategori Beregu Lelaki Bawah 19 Tahun selepas menerima respons daripada para peserta yang mahu kategori kumpulan umur remaja turut dipertandingkan.

“Pada tahun lepas, hanya 24 pasukan menyertai kejohanan ini kerana tempoh terhad tetapi pada tahun ini kita memberi masa mencukupi kepada pasukan yang berminat untuk mendaftar dengan tarikh tutup pendaftaran pada 19 Julai depan.

“Yuran penyertaan bagi setiap pasukan berjumlah RM100 dan borang pendaftaran boleh didapati bermula hari ini (semalam) di Pusat Sehenti MBKS, laman rasmi MBKS, World Sports, Badminton World, CS Sports, Mine’s Sports dan Everspring,” katanya.

Hadiah menarik menanti para pemenang dengan johan akan menggondol wang tunai RM2,000, trofi dan medal, naib johan RM1,000, trofi dan medal manakala tempat ketiga bersama meraih RM500, trofi dan medal.

Pasukan akan dipecahkan kepada tiga atau empat kumpulan di peringkat awal di mana kejohanan akan menggunakan format kalah mati.

Setiap pasukan perlu mendaftar minimum 10 pemain dengan maksimum seramai 14 pemain.

Lung Lung Hin merupakan juara bertahan edisi 2018 sambil Ace di tempat kedua, manakala AK Sports Siol dan Laver Season berkongsi tempat ketiga.

Advertisement