Anda di sini

Kami harus kekal realistik, kata Reus

Advertisement
 Reus menjaringkan gol pembukaan perlawanan ketika membantu Jerman membelasah Estonia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Mainz, Jerman kelmarin. — Gambar AFP
BERPESTA GOL: Reus menjaringkan gol pembukaan perlawanan ketika membantu Jerman membelasah Estonia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Mainz, Jerman kelmarin. — Gambar AFP

MAINZ, Jerman: Marco Reus memberi amaran kepada Jerman untuk tidak terlalu yakin selepas mengekalkan rekod permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020 apabila membelasah Estonia 8-0 di Mainz Selasa lepas.

Estonia jelas bukan lawan walaupun menentang pasukan muda Jerman yang kelihatan sudah melupakan kekecewaan di Piala Dunia 2018 apabila mencipta kemenangan ketiga dari tiga perlawanan dalam Kumpulan C.

Namun Reus memberitahu penyiaran RTL di mana beliau dan rakan sepasukannya harus bersikap “realistik’.

“Lawan seperti ini bukan penanda aras bagi kami. Ia penting untuk kami mendapat rentak permainan dan saling mengenali sesama kami dalam padang tetapi kami harus kekal realistik,” kata beliau.

Kapten pasukan yang juga penjaga gol, Manuel Neuer, berkata pasukan boleh berasa “bangga” dengan penguasaan sepenuhnya permainan Selasa lepas.

Pesta gol bermula pada minit ke-10 apabila Ilkay Gundongan memulakan satu pergerakan yang disempurnakan oleh Reus.

Gol itu membina rentak untuk baki separuh masa pertama ketika Gundogan dan Joshua Kimmich mengucar-kacir pertahanan Estonia dengan umpanan-umpanan berbahaya.

Gundogan mengumpan untuk gol kedua yang disempurnakan Gnabry dan Jerman mendahului 3-0 selepas 20 minit permainan menerusi gol Leon Goretzka dari satu umpanan Kimmich.

Gol keempat dijaringkan oleh Gundogan dari satu tendangan penalti selepas Joonas Tamm mengasari Goretzka dalam kotak penalti.

Pada minit ke-37, Reus menjaringkan gol kedua peribadi dari satu tendangan percuma cantik.

Gnabry menjaringkan gol kedua peribadi selepas rehat sebelum pemain gantian, Timo Werner menjaringkan gol ketujuh.

Leroy Sane melengkapkan jaringan pada minit akhir selepas dua gol beliau sebelum ini tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid.

Pada perlawanan seterusnya, Jerman akan menentang musuh lama, Belanda di Hamburg pada 6 September. — AFP

Advertisement