Anda di sini

Insigne, Verratti bantu Itali kekalkan permulaan sempurna

Advertisement
 Para pemain Itali meraikan jaringan Verratti (tidak kelihatan) pada perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Bosnia di Stadium Allianz, Turin kelmarin. — Gambar AFP
PERMULAAN HEBAT: Para pemain Itali meraikan jaringan Verratti (tidak kelihatan) pada perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Bosnia di Stadium Allianz, Turin kelmarin. — Gambar AFP

TURIN, Itali: Lorenzo Insigne dan Marco Verratti menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua ketika Itali bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Bosnia-Herzegovina 2-1, sekali gus mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020 dari empat kemenangan Selasa lepas.

Edin Dzeko meletakkan Bosnia di hadapan pada minit ke-32 perlawanan di Stadium Juventus ketika Itali bolos buat kali pertama dalam kempen kelayakan Euro.

Tetapi Insigne mengikat kedudukan selepas rehat dengan satu gol cantik sebelum beliau mengumpan bola kepada Verratti untuk gol kemenangan Itali, empat minit sebelum tamat permainan.

Skuad bimbingan Roberto Mancini itu kekal di tangga teratas Kumpulan J dengan 12 mata maksimum  selepas empat perlawanan dan menjaringkan 13 gol dengan hanya bolos sekali.

Mancini berkata beliau berasa kagum dengan karektor yang ditunjukkan oleh pasukannya ketika bangkit.

“Saya menjangkakan kesukaran tetapi kami menunjukkan kekuatan dan kesungguhan untuk mengubah keputusan,” kata Mancini.

“Apa yang penting ialah kami di tangga teratas kumpulan, saya tidak melihat pasukan lain.

“Kami mahu meletakkan diri kami di kedudukan terbaik untuk satu peluang sebenar ke Euro 2020,” kata Mancini.

Itali kini tiga mata di hadapan Finland, dengan Armenia di tangga ketiga, diikuti Bosnia dan Greece, yang ketinggalan lapan mata.

“Kami agak hambar dalam separuh masa pertama, mungkin agak keletihan tetapi kami memperbaikinya selepas rehat.

“Ia bukan mudah untuk mengubah perlawanan seperti ini dan kami memberikan segala-galanya,” tambah Mancini, yang mengambil alih tugas sebagai jurulatih selepas Itali gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Pemain tengah, Miralem Pjanic, yang digantung dari beraksi untuk Bosnia apabila tewas 0-2 kepada Finland, kembali beraksi tetapi tewas pada perlawanan di stadium kelabnya, Juventus.

Bosnia mengasak awal dengan Dzeko mempunyai peluang dari satu hantaran Edin Visca tetapi tersasar.

Beliau akhirnya menamatkan rekod enam perlawanan berturut-turut tanpa bolos Itali – sejak bulan Oktober tahun lepas – apabila membuka jaringan.

“Kami selayaknya keputusan seri tetapi Itali mempunyai lebih banyak tenaga berbanding kami dalam separuh masa kedua,” kata Dzeko. “Kekesalan terbesar saya ialah kami tidak mampu menjaringkan gol kedua apabila kami mempunyai peluang untuk melakukannya.

“Kami masih berharap untuk dapat layak tetapi kami bermain dengan buruk ketika menentang Finland dan kegagalan mengutip mata dari perlawanan itu menjejaskan peluang kami.”

Fabio Quagliarella tidak bernasib baik untuk mengikat kedudukan lebih awal buat Itali apabila rembatannya ditepis penjaga gol Bosnia, Ibrahim Sehic.

Federico Chiesa menggantikan Quagliarella selepas rehat sebelum Insigne mengikat kedudukan pada minit ke-49 dari tendangan sudut Federico Bernardeschi.

Sehic sekali lagi beraksi tangkas menepis tandukan Insigne pada minit ke-69 dan juga cubaan dari kapten Itali, Giorgio Chiellini.

Verratti menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan untuk mengekalkan peluang Itali ke Euro 2020.

Itali akan menentang Armenia pada 5 September depan sementara Bosnia akan menanti kunjungan Liechtenstein. — AFP

Advertisement