Anda di sini

Dua kes pukul berpunca dari salah faham: Omar

Advertisement
OMAR (dua kanan) menunjukkan parang dan batang besi yang digunakan oleh kumpulan warga asing semasa pergaduhan di Pekan Ranau.
OMAR (dua kanan) menunjukkan parang dan batang besi yang digunakan oleh kumpulan warga asing semasa pergaduhan di Pekan Ranau.

KOTA KINABALU: Kes pukul membabitkan seorang lelaki tempatan, Abdul Shukur Abdullah, 57, yang maut dibelasah warga asing adalah berpunca daripada salah faham.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kejadian bermula apabila seorang lelaki berumur 31 tahun yang juga anak mangsa membawa anaknya berumur 6 tahun membeli keropok di kedai runcit milik suspek.

“Lelaki itu pada mulanya membeli dua bungkus keropok masing-masing berharga RM2 dan RM2.30 sebelum membayar, lalu keluar dari kedai runcit terbabit.

“Sejurus keluar, lelaki itu bagaimanapun merasakan keropok itu tidak mencukupi untuk anaknya di rumah sebelum masuk kembali ke kedai runcit untuk membeli keropok tambahan,” katanya.

Beliau berkata semasa lelaki itu membayar keropok buat kali kedua, penjaga kaunter sudah bertukar dan penjaga kaunter menyangka lelaki terbabit mencuri keropok terbabit sebelum berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka walaupun lelaki itu sudah memberitahu dia tidak mencuri.

“Mangsa kemudian segera le kedai runcit itu sebaik melihat pergelutan antara anaknya dan pemilik kedai runcit untuk meleraikan pergaduhan.

“Semasa meleraikan pergaduhan, mangsa diserang pemilik kedua kedai runcit dan terjatuh sebelum orang ramai ke lokasi untuk membantu meredakan keadaan,” katanya.

Tambahnya mangsa kemudian dihantar ke hospital dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan `subarachnoid' otak yang parah disebabkan luka pada salur darah `vertebral' kanan dan trauma pada leher.

“Akibat daripada pergaduhan itu, anak mangsa juga mengalami kecederaan patah tangan dan kaki sebelah kanan,” katanya.

Dalam pada itu, perkembangan siasatan mendedahkan kedua-dua suspek yang juga pemilik kedai runcit ditahan disahkan positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 14 Jun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, kejadian salah faham itu juga berlaku membabitkan kes pukul di Ranau yang turut melibatkan kumpulan warga asing serta tempatan.

“Selepas ditumbuk oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 22 tahun, suspek yang juga warga asing berumur 18 tahun hanya mendiamkan diri berikutan keadaan diri yang tidak sempurna selain isterinya berada di lokasi kejadian di Pekan Ranau.

“Keesokan harinya, suspek bagaimanapun berjumpa dengan rakan lelaki yang memukulnya untuk bertanya mengapa rakannya itu memukulnya,” katanya.

Menurutnya, semasa suspek di kedai terbabit lelaki yang memukulnya datang bersama beberapa rakan lain dan terus menyerang suspek sebelum beberapa lagi rakan suspek datang memberi pertolongan dengan bersenjata parang serta batang besi.

“Bertindak atas kejadian, polis menahan 10 individu berumur 14 hingga 46 tahun termasuk lima warga asing.

“Suspek hanya mahu bertanya kenapa dia dipukul sebelum berlakunya salah faham lalu terjadi pergaduhan antara kedua-dua pihak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement