Anda di sini

Bukit Aman siasat klip video, timbalan SPRM ketuai siasatan dakwaan Lokman

Advertisement
OMAR
OMAR


KOTA KINABALU: Bukit Aman kini mengendalikan kerja penyiasatan membabitkan rakaman klip video intim hubungan sejenis menyerupai menteri kanan yang ditularkan sejak Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pasukan polis Bukit Aman kini mengambil alih siasatan sepenuhnya.

“Walaupun kejadian didakwa berlaku di salah sebuah hotel di Sandakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Mei lalu, namun mereka (Bukit Aman) yang mengendalikan siasatan,” katanya semasa dihubungi semalam.

Terdahulu, klip video terbabit yang memaparkan dua lelaki di atas katil sambil berbogel dengan melakukan aksi sensual mula ditularkan selepas beberapa individu memuat naik video bersama transaksi kewangan yang kononnya diterima oleh menteri terbabit dalam kumpulan WhatApps yang dibuat kira-kira jam 1.30 pagi.

Awal pagi semalam, satu lagi video berkenaan pengakuan bersumpah seorang lelaki didakwa Setiausaha Sulit Kanan seorang Timbalan Menteri mengatakan dia terlibat dalam aksi terbabit selain mengaku video terbabit diambil tanpa kebenarannya.

Sehingga kini, kesahihan video terbabit masih belum diketahui dan rata-rata netizen turut meragui kebenaran serta motif klip video terbabit disebarkan.

LATHEEFA
LATHEEFA

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya memaklumkan beliau tidak akan terlibat dalam siasatan melibatkan dakwaan yang dibuat Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat Datuk Lokman Noor Adam terhadap seorang menteri kabinet.

Latheefa dalam satu kenyataan semalam berkata, siasatan kes itu akan dikendalikan  timbalannya serta pasukan siasatannya.

“Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan,” kata beliau mengenai laporan SPRM yang dibuat Lokman kelmarin  berhubung transaksi luar negara meragukan ke dalam akaun bank milik seorang  menteri pada akhir 2017.

Laporan itu meminta antara lain siasatan dijalankan terhadap dakwaan pemindahan dana sejumlah AS$741,440 (RM3.085 juta) daripada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan di negara ini ke akaun luar negara menteri berkenaan.

“SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa,” kata Latheefa.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lepas menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang membuat keputusan  memendekkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Advertisement