Anda di sini

Bot bawa 65 pelarian Rohingya terdampar di Thailand

BANGKOK: Sekumpulan 65 orang Muslim Rohingya telah dijumpai di atas sebuah bangkai bot di perairan pantai selatan Thailand, kata pegawai Tentera Laut semalam manakala pihak berkuasa menyiasat sama ada mereka telah didagangkan ataupun tidak.

Bot itu dijumpai awal kelmarin di Taman Negara Marin Tarutao di selatan Thailand, kira-kira 400 kilometer dari sempadan Myanmar.

Kira-kira 740,000 orang Rohingya sudah meninggalkan Myanmar sejak operasi ketenteraan yang kejam pada 2017 terhadap masyarakat minoriti tanpa negara itu di negara majoriti pengikut Buddha tersebut.

Kebanyakan mereka sudah lari ke kem pelarian yang terlalu sesak di Bangladesh, manakala ada juga telah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ketika mereka cuba mencari kehidupan yang lebih baik di Malaysia atau Thailand.

Seorang jurucakap Tentera Laut Thai berkata terdapat 31 wanita dan lima kanak-kanak di kalangan orang Rohingya yang dijumpai di atas bangkai bot berkenaan.

Seorang lelaki Thai dan lima warga Burma juga ada dalam kumpulan tersebut. Mereka berkata mereka menangkap ikan di kawasan sekitar dan tidak ada kaitan dengan orang Rohingya tersebut.

Enam lelaki tersebut “ditahan untuk disoal siasat kerana kelakuan mereka yang mencurigakan”, kata jurucakap Tentera Laut Thai, Naib Laksamana Khan Deeubol, semalam.

Seorang pegawai wilayah berkata kumpulan itu pada mulanya disiasat bagi kema-sukan tanpa izin tetapi siasatan sudah diperluaskan.

“Pihak berkuasa tidak menolak isu lain seperti pemerdagangan manusia,” kata sumber Pemerintah Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) di wilayah Satun kepada AFP.

Gambar daripada Tentera Laut Thai menunjukkan kumpulan tersebut di sebuah pantai, ada yang makan nasi berhampiran bot yang terdampar.

Pihak berkuasa Bangladesh telah memintas beberapa orang yang disyaki pedagang manusia yang mahu membawa orang pelarian dari kem yang sangat kotor di Cox’s Bazaar, di mana hampir sejuta orang Rohingya tinggal – hampir kesemuanya enggan pulang ke Myanmar kerana bimbang mengenai hak dan keselamatan mereka.

Myanmar menyatakan tujuan operasi pada 2017 adalah untuk membanteras pemberontak yang menye-rang markas tentera.

Ia telah menandatangani perjanjian repatriasi dengan Bangladesh untuk menghantar balik pelarian Rohingya, tetapi setakat ini tidak ada seorang pun yang mahu pulang secara sukarela.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyatakan keganasan itu sama seperti “genosid” dan menuntut pendakwaan ke atas golongan jeneral tertinggi. — AFP