Anda di sini

Atlet Sabah berhak ada kemudahan sukan baik

Advertisement
PHOONG (tengah) semasa melawat gelanggang luar dewan KSKK.
PHOONG (tengah) semasa melawat gelanggang luar dewan KSKK.

KOTA KINABALU: Mempunyai kemudahan sukan yang baik adalah antara kunci utama untuk Sabah menjadi `power house' sukan di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe berkata, atlet negeri ini perlukan dan berhak ada kemudahan sukan yang baik kerana merekalah yang akan membawa bendera Sabah di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Sabah sepatutnya `power house' sukan dan untuk mengembalikan kegemilangan itu, atlet Sabah perlu, berhak ada kemudahan sukan yang baik," kata Phoong semasa melawat kemudahan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu hari ini.

"Sebab itulah kami berada di sini (melawat Kompleks Sukan). Ini adalah titik permulaan jelajah saya. Saya akan melawat ke semua 16 Kompleks Sukan yang ada di negeri ini bermula hari ini hingga 23 Jun.

"Penting bagi saya turun padang dan memahami secara peribadi masalah-masalah yang ada. Memang ada banyak keadaan yang kurang memuaskan tetapi saya akan sedaya upaya bersama `team' baharu, SUT (Setiausaha Tetap) baharu dan Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) menambah baik keadaan ini," katanya.

Menerusi lawatan itu katanya, beliau akan melihat apa peluang yang ada dan bagaimana mempertingkatkan prestasi sukan di negeri ini.

"Matlamat utama ialah untuk mengembalikan Sabah sebagai `power house' sukan di Malaysia dan akhirnya kita dapat mengkibar tinggi bendera Sabah di peringkat antarabangsa," katanya.

Phoong berkata, kementeriannya bagaimanapun berhadapan dengan masalah  kekurangan peruntukan bagi menyelenggara semua kompleks sukan.

"Bagaimanapun kita pun faham dengan situasi (kekurangan peruntukan) ini kerana Sabah adalah negeri yang mempunyai paling banyak kompleks sukan di Malaysia...semuanya ada 16 dan ada beberapa lagi akan di bina.

"Kita tidak mampu menampung kos penyelenggaraan yang tinggi setiap tahun. Sebab itu, saya bersama dengan LSNS sedang melihat perkara ini dan cuba mencari jalan penyelesaian bagaimana supaya kita dapat membiayai kos penyelenggaraan itu," katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, sudah ada juga perancangan di mana beliau akan berjuang untuk dapatkan lebih banyak peruntukan untuk mempertingkatkan kemudahan-kemudahan sukan di negeri ini.

Antara yang turut bersama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Likas Tan Lee Fat, SUT KBS Sabah Mohd Yusrie Abdullah, Pengerusi LSNS Dr KH Tan, Pengurus Besar LSNS Terrance Pudin dan Ahli Lembaga Pengarah LSNS.

  • oleh
  • Advertisement