Anda di sini

15 OKU sertai Abilympics Antarabangsa di Moscow

Advertisement
 Khatijah ketika ditemu bual wartawan Bernama di Wisma Bernama semalam. — Gambar Bernama
BERKONGSI IDEA: Khatijah ketika ditemu bual wartawan Bernama di Wisma Bernama semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Malaysia (MCR) akan menghantar 15 peserta golongan orang kurang upaya (OKU) ke Moscow, Rusia untuk menyertai Kejohanan Abilympics Antarabangsa edisi ke-10 yang dijangka berlangsung September tahun hadapan.

Presidennya, Datin Paduka Khatijah Sulaiman berkata peserta daripada kalangan yang mengalami pelbagai kecacatan akan bersaing bersama peserta dari 35 negara dalam 15 daripada 30 acara dipertandingkan termasuk memasak, gubahan bunga, pemasangan komputer, fotografi dan menjahit pakaian.

“Majlis Pemulihan Malaysia adalah penyelaras pertandingan Abilympics di Malaysia yang memilih peserta orang kurang upaya yang berkelayakan untuk mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan peserta adalah melalui proses pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan yang diadakan tahun lepas untuk memilih peserta terbaik bagi mewakili Malaysia di Moscow nanti,” katanya kepada Bernama di Wisma Bernama di sini semalam.

Khatijah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai institut kemahiran antaranya Kolej Komuniti Selayang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mempertingkatkan kemahiran peserta yang dipilih ke kejohanan itu.

Khatijah berkata kejohanan itu membuktikan golongan OKU mampu menempa kejayaan dalam pelbagai bidang sekali gus berpeluang mengukir nama negara di peringkat antarabangsa.

“Saya mahu peserta berjaya selepas pertandingan ini dan menjadikan bakat yang mereka ada sebagai satu kerjaya dan saya harap pihak yang berkenaan dapat membantu mereka daripada segi kewangan supaya mereka dapat menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata MCR akan berusaha lebih keras dengan membuat perancangan teratur dalam memastikan negara memenangi banyak pingat dalam pertandingan itu pada masa hadapan.

Satu majlis minum petang akan diadakan pada 23 Jun ini di Hotel Seri Pacific di sini, bertujuan mengutip dana termasuk bagi menampung perjalanan 15 peserta sepanjang kejohanan itu.

Malaysia menyertai kejohanan itu sejak edisi 1995 di Australia, dengan pencapaian terbaik satu emas, satu perak dan dua gangsa di Bordeaux, Perancis pada 2016.

Abilympics berasal daripada perkataan ‘Olympic of Abilities’ iaitu pertandingan kemahiran pekerjaan atau vokasional untuk orang kurang upaya yang diadakan setiap empat tahun. — Bernama

Advertisement