Anda di sini

Terminal Feri Menumbok sesak, ratusan kenderaan terkandas

Advertisement
 Kesesakan di Terminal Feri Menumbok apabila orang ramai mulai pulang ke Labuan sejak tiga hari lepas berikutan cuti musim perayaan akan berakhir. — Gambar Bernama
SESAK: Kesesakan di Terminal Feri Menumbok apabila orang ramai mulai pulang ke Labuan sejak tiga hari lepas berikutan cuti musim perayaan akan berakhir. — Gambar Bernama

LABUAN: Beratus-ratus kenderaan yang dalam perjalanan masuk ke pulau bebas cukai di sini, kini terkandas di Terminal Feri Menumbok setelah perkhidmatan feri ro-ro tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi sejak tiga hari lepas berikutan cuti musim perayaan akan berakhir.

Pengurusan feri memberitahu Bernama tiket bagi kenderaan dari Menumbok ke Labuan hanya boleh didapati pada 14 Jun, yang menyebabkan kenderaan terkandas dan pemilik terpaksa meletak kenderaan mereka di tempat letak kereta berbayar pada RM5 sehari yang disediakan penduduk Menumbok.

Walaupun pengendali feri menyediakan perkhidmatan tambahan, mereka masih tidak dapat mengatasi permintaan yang tinggi.

Feri Kimanis 1 boleh membawa 250 penumpang dan 50 kenderaan; Putrajaya 1,400 penumpang dan 80 kenderaan dan feri terbesar, Goodwill Star, membawa lebih 400 penumpang dan 100 kenderaan setiap perjalanan.

Pengarah Jabatan Laut Labuan, Benjamin Bernard Bijion memberitahu Bernama, sebanyak 5,796 kenderaan dengan 14,662 penumpang (tidak termasuk mereka yang memiliki motosikal dan penumpang tanpa tiket) menggunakan terminal Labuan untuk ke tanah besar bagi tempoh sembilan hari mulai 27 Mei.

Beliau berkata pasukan penguat kuasa jabatan telah menjalankan pemeriksaan keselamatan pada setiap feri mengikut senarai semakan rutinnya.

“Ini termasuk pematuhan penuh dengan konvensyen antarabangsa berkaitan dengan keselamatan penumpang, aset, keadaan tempat duduk dan susunan tempat penumpang, tanda-tanda bagi pemindahan dalam kecemasan dengan peralatan keselamatan dalam keadaan baik,” katanya.

Antara faktor yang menyebabkan kenderaan berkenaan terkandas ialah kerana ketiadaan tiket untuk ke Labuan dan tiba lewat ke terminal sehingga terlepas feri.

Beberapa penumpang yang terlepas feri dan terkandas di terminal Menumbok berkata kelewatan tiba di terminal disebabkan oleh jalan sesak di sepanjang jalan Papar menuju ke Menumbok ditambah pula dengan hujan lebat dan banjir.

Pengendali bot laju penumpang pula terpaksa menambah perkhidmatan dengan mengadakan lebih lima perjalanan setiap hari untuk membawa mereka yang terkandas.

Sementara itu, jumlah trafik di sepanjang Jalan Rancha-Rancha ke Sg Keling di sini pagi semalam telah mula meningkat kerana orang ramai berpusu-pusu pulang untuk bekerja dan menghantar anak ke sekolah yang bermula semalam.

Ketua Polis Labuan Supt. Muhamad Farid Ahmad berkata mereka menjangka aliran lalu lintas yang tinggi minggu ini kerana kebanyakan orang akan kembali ke Labuan.

Beliau menggesa pengguna jalan raya yang memandu ke arah Menumbok supaya berhati-hati di jalan raya.

“Pemandu dinasihatkan supaya memandu berhati-hati, pada had kelajuan yang dibenarkan, memastikan jarak kenderaan selamat dan tidak membawa lebih muatan pada hujung minggu ini,” katanya. — Bernama

Advertisement