Anda di sini

Sufizal yakin serasi dengan Joseph

Advertisement
 Sufizal (kanan) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan menentang SAMB FC Sabtu ini.
IKRAR TERBAIK: Sufizal (kanan) gigih menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan menentang SAMB FC Sabtu ini.

KUCHING: Penggempur baharu Kuching FA Sufizal Ismail yakin mampu membentuk gandingan serasi dengan tonggak penyerang, Joseph Kalang Tie di jentera serangan.

Menurut penyerang berusia 30 tahun itu, beliau tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian dengan Joseph kerana pernah beraksi bersama pemain itu sebelum ini.

“Kami pernah bermain bersama ketika mewakili Sarawak dan saya tidak melihat sebarang kesukaran untuk mencari titik persefahaman bersama Joseph.

“Bagaimanapun, kami perlu terus berusaha mencipta kombinasi mantap kerana agak lama tidak digandingkan bersama.

“Apapun, ia satu penghormatan besar bagi diri saya kerana dapat bermain semula dengan Joseph dan rakan-rakan lain dalam pasukan ini,” katanya semalam.

Beliau turut berikrar akan memberikan persembahan terbaik membantu Kuching FA mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Liga M3.

Tambahnya yakin, gandingan pemain berpengalaman dan baharu dalam Kuching FA menjadikan pasukan itu serba mantap dari segenap sudut.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan Kuching FA kerana sekali lagi menaruh kepercayaan kepada saya untuk menyertai pasukan ini.

“Sudah tentu saya mahu membalas kepercayaan ini dengan memberikan yang terbaik membantu pasukan ini meraih kemenangan dan paling utama bersaing di Liga Perdana pada tahun depan,” katanya lagi.

Sufizal dijangka membuat kemunculan sulung pada perlawanan menentang SAMB FC pada Sabtu, 15 Jun ini di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Selain Sufizal, Kuching FA turut menambat tiga pemain baru iaitu Ismail Bujang (penyerang), Jimmy Raymond (pertahanan) dan Mohd Irfan Syahmi Irwanddy (tengah) pada jendela perpindahan kedua.

Kuching FA kendalian Ideris Untong sedang mengungguli Liga M3 dengan mengumpul 19 mata hasil dari enam kemenangan dan sekali seri.

  • oleh
  • Advertisement